BUKIT SENTOSA - Dua beranak cedera selepas bas Smart Selangor dinaiki terbalik di Jalan Tulip 3 Bukit Sentosa di sini pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sepasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa telah dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 11.16 pagi.
Menurutnya, terdapat empat mangsa warga tempatan iaitu dua lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan.
"Kemalangan melibatkan sebuah bas Smart Selangor terbabas dan terbalik.
"Pemandu bas iaitu seorang lelaki berusia 57 tahun dan penumpang berusia 17 tahun tidak mengalami kecederaan, namun seorang wanita dan anaknya dilaporkan cedera ringan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, dua beranak berusia 38 dan sembilan tahun telah dikejarkan ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk rawatan lanjut.
Tambahnya, dipercayai bas itu terbabas sendiri di selekoh lokasi terbabit.