Tiga masjid Malaysia tarik lebih 833,000 pelancong

Iklan
Masjid Putra, Putrajaya dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin antara yang menerima jumlah pelancong tinggi. - Foto: Perbadanan Putrajaya. 

KOTA BHARU – Keupayaan masjid sebagai produk pelancongan Islam dan medium dakwah global terus terserlah apabila tiga masjid utama di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mencatatkan kunjungan seramai 833,904 pelancong sepanjang tahun lalu.

Jumlah itu melibatkan Masjid Putra, Putrajaya (500,708 pelancong), Masjid Negara (299,076) dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (34,120) yang merupakan antara destinasi pelancongan Islamik paling popular di negara ini.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, keunikan seni bina dan nilai budaya Islam yang ditampilkan melalui lawatan ke masjid bukan sahaja mendekatkan pelancong kepada kefahaman Islam, malah menjadi ruang interaksi harmoni antara agama.

“Masjid bukan hanya tempat solat, tetapi juga ruang dakwah terbuka.

Iklan

“Banyak program seperti Mosque Open Day, iftar bersama pelancong, sambutan Aidilfitri dan majlis berbuka puasa bersama pelancong bukan Muslim dijalankan di masjid-masjid utama,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM, Dr Muhammad Yamin Ismail.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutup Persidangan Meja Bulat Pelancongan Masjid dan Pelancaran Direktori Masjid Pelancongan di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Iklan

Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.

Menurut Dr Sirajuddin, persidangan yang kini memasuki edisi keempat itu menyaksikan penyertaan yang lebih ramai berbanding tahun-tahun terdahulu berikutan peningkatan jumlah masjid pelancongan di seluruh negara.

Dr Muhammad Yamin (kiri) yang menerima cenderahati disampaikan oleh Khairul Firdaus (tengah).

Katanya, inisiatif seperti Kursus Pemandu Pelancong Masjid, pameran Galeri Rukun Islam dan Iman, serta kerjasama bersama Islamic Tourism Centre (ITC) turut memantapkan fungsi masjid sebagai pusat dakwah dan tarikan pelancong berinformasi.

“Masjid harus bersifat terbuka dan inklusif, termasuk kepada bukan Muslim.

“Masjid menjadi platform menyebarkan rahmat Islam serta mengukuhkan keharmonian antara kaum dan agama seperti yang digariskan dalam prinsip Malaysia Madani,” ujarnya.

Selain itu, masjid juga disaran agar memainkan peranan aktif dalam memperkasakan ekonomi komuniti setempat, sekali gus tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kutipan tabung sebagai sumber kewangan.

Menurutnya, pelbagai produk komuniti boleh dipasarkan kepada pelancong, sama ada secara langsung di kawasan masjid atau melalui kerjasama strategik dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kariah masing-masing.

“Produk tempatan bukan sahaja membantu ekonomi komuniti, tetapi mampu menjadi identiti pelancongan unik yang menarik kehadiran pengunjung ke masjid,” katanya.

Beliau turut berharap agar hasil persidangan ini dapat dirumus sebagai pelan tindakan yang lebih tersusun ke arah pengurusan masjid pelancongan yang sistematik, efisien dan berkesan pada masa akan datang.

JAKIM turut merakamkan penghargaan kepada ITC, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Jabatan Agama Islam negeri-negeri, serta semua jawatankuasa masjid dan peserta persidangan atas komitmen dalam menjayakan program tersebut.