KUALA TERENGGANU – Mahkamah Tinggi di sini membenarkan writ saman fitnah yang difailkan oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman terhadap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tuan Mandak, Kuala Nerus, Saik Abdullah Tuan Tengah.
Saman berkenaan difailkan selepas Saik Abdullah didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah membabitkan dakwaan penyalahgunaan kuasa, rasuah dan amalan tidak beretika ketika Ahmad Razif memegang jawatan dalam kerajaan negeri.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani membenarkan tuntutan tersebut selepas defendan gagal hadir ke mahkamah dan tidak memberi sebarang maklum balas terhadap writ saman yang telah diserahkan.
Mahkamah turut menetapkan 17 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula untuk menentukan jumlah tuntutan ganti rugi yang bakal dibayar kepada Ahmad Razif.
Menurut Ahmad Razif, kenyataan fitnah itu dimuat naik oleh Saik Abdullah pada 28 Mac lalu menerusi media sosial secara jelas menggambarkan dirinya sebagai seorang pengamal rasuah dan penyalahguna kuasa.
"Saya telah mengarahkan pasukan guaman menghantar Notis Tuntutan Permohonan Maaf secara rasmi kepada Saik Abdullah pada 17 April lalu, namun selepas tempoh tujuh hari, tiada sebarang jawapan atau penarikan balik kenyataan diterima.
"Justeru, saya mengambil keputusan memfailkan saman sivil untuk menuntut ganti rugi terhadap fitnah tersebut," katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Kuala Terengganu, di sini pada Isnin.
Ahmad Razif berkata, tindakan undang-undang itu bukan semata-mata untuk mempertahankan nama baiknya, tetapi sebagai satu mesej jelas bahawa fitnah dan tuduhan palsu tidak boleh disebarkan sewenang-wenangnya, terutama di ruang terbuka seperti media sosial.
"Saya harap tindakan ini menjadi pengajaran kepada semua pihak agar lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan tanpa asas yang sahih," katanya.
Ahmad Razif diwakili barisan peguam diketuai Datuk Ahmad Zaidi Zainal bersama Fatini Athirah Baharin.