Program Ekonomi Madani perkasa keluarga tentera

Iklan
Mohamed Khaled (tengah) mencuba madu kelulut yang menggunakan log hive dan teknologi bioteknologi bagi menghasilkan madu berkualiti tinggi.

BAYAN LEPAS – Penyertaan aktif keluarga anggota tentera dalam projek-projek di bawah Program Ekonomi Madani berasaskan pertanian dalam kem bukan sahaja mampu menambah pendapatan isi rumah, malah membuktikan peranan mereka sebagai penyumbang penting dalam pembangunan industri hiliran dan keterjaminan makanan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Program Ekonomi Madani yang dilaksanakan di Kem Sungai Ara di sini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkasa kesejahteraan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya tentera darat, menerusi kolaborasi strategik bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara projek perintis yang digerakkan ialah penternakan madu kelulut oleh Universiti Sains Malaysia (USM) yang menggunakan log hive dan teknologi bioteknologi bagi menghasilkan madu berkualiti tinggi melalui kaedah penternakan sistematik.

Selain itu, katanya, ia juga melibatkan penanaman cendawan tiram oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan pembinaan rumah cendawan tertutup yang dilengkapi kawalan suhu dan kelembapan bagi memastikan hasil tuaian yang konsisten dan berkualiti.

Iklan

Katanya, projek-projek di bawah Program Ekonomi Madani itu diusahakan oleh komuniti Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD).

"Kedua-dua inisiatif ini menjadi pemangkin kepada pemindahan ilmu daripada universiti kepada komuniti tentera, sekali gus membuka ruang kepada keluarga anggota untuk memainkan peranan dalam membangunkan ekonomi Madani dari dalam kem.

Iklan

"Penganjuran program ini bukan sahaja mengisi masa lapang keluarga tentera, malah mampu menjadi sumber pendapatan berterusan, terutamanya ketika para anggota terlibat dalam penugasan luar negara seperti misi Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) ke Lubnan pada tahun hadapan," katanya dalam sidang akhbar selepas Lawatan Kerja ke Kem Sungai Ara di sini pada Isnin.

Lawatan itu turut disertai Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bersama barisan kepimpinan kanan ATM dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan.

Tambah beliau, kerjasama itu membuktikan bahawa ilmu yang dimiliki oleh universiti boleh diaplikasikan secara langsung bagi manfaat keluarga tentera.

"Ia juga sejajar dengan usaha kerajaan untuk membangunkan industri hiliran dan menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.

"Setakat ini, sambutan terhadap projek-projek tersebut amat menggalakkan. Bagi projek cendawan misalnya, sehingga 20 peserta telah menyertainya melalui Pusat Kegiatan Cendawan (PKC) dan angka itu dijangka meningkat jika permintaan bertambah.

“Jika ada tempat dan tapak yang mencukupi, kita bersedia menambah lagi penyertaan. Ini semua sebagai permulaan untuk memupuk minat dan membuktikan bahawa ia sesuatu yang memberi manfaat dan pulangan kepada peserta,” ujarnya.

Menurutnya, projek madu kelulut kini telah bersedia untuk dipasarkan, manakala hasil cendawan sedang dirunding untuk dipasarkan melalui Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama).

"Sisa bongkah cendawan juga akan dimanfaatkan sebagai baja organik, menjadikan projek ini bukan sahaja lestari, malah berpotensi besar untuk berkembang," ujarnya.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan juga memperuntukkan RM10 juta bagi menjayakan Program Ekonomi Madani dalam kem-kem di seluruh negara sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan anggota tentera yang menjadi benteng keselamatan negara.

“Peranan keluarga tentera dalam menjayakan program seperti ini sangat besar. Mereka bukan sekadar penyokong di belakang tabir, tetapi turut menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran negara secara langsung,” katanya lagi.