SHAH ALAM – Polis membuka kertas inkuiri bagi mengenal pasti sama ada wujud kesalahan jenayah oleh penganjur program motivasi rumah tangga yang didakwa songsang dan terpesong.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya akan memanggil beberapa saksi lagi bagi mendapatkan pengesahan, termasuk berkaitan penggunaan air yang didakwa boleh mengkhayalkan.
“Setakat ini, apa yang kita peroleh adalah maklumat daripada pihak ketiga. Polis akan memanggil saksi-saksi dan individu yang terlibat secara langsung dalam aktiviti itu untuk membuktikan sama ada wujud kesalahan jenayah.
“Kita buka kertas siasatan untuk mendapatkan keterangan terus daripada saksi yang hadir atau terlibat, bagi mengesahkan sama ada benar wujud penggunaan air tertentu atau kesalahan lain di bawah Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Hussein berkata, kenyataan saksi diperlukan sebelum minuman itu dihantar ke makmal forensik untuk siasatan lanjut.
"Selain itu, kerjasama antara polis dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berjalan lancar mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjalankan siasatan secara terperinci bersama JAIS bagi memastikan kesahihan maklumat berhubung program motivasi rumah tangga yang didakwa menyimpang.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dilaporkan berkata, langkah itu diambil bagi mendapatkan gambaran sebenar sebelum tindakan wajar diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.