Isteri jalan kaki dua kilometer temui suami ditahan merempit

Iklan
Antara individu ditahan dipercayai melakukan pelbagai aksi berbahaya di Persiaran Raja Muda Musa pada Ahad.

KLANG – Seorang wanita sanggup berjalan kaki lebih dua kilometer selepas dimaklumkan suaminya ditahan dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Persiaran Raja Muda Musa di sini pada Ahad.

Wanita berkenaan yang baru beberapa bulan mendirikan rumah tangga mendakwa bergegas keluar dari rumah yang terletak di kawasan Pandamaran selepas menerima panggilan telefon daripada suaminya yang memaklumkan dia ditahan pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Dakwanya, dia terpaksa berjalan kaki untuk ke lokasi suaminya ditahan disebabkan tidak memiliki motosikal lain.

Menurut wanita berusia lingkungan 20-an itu, dia sudah beberapa kali menasihatkan suaminya supaya tidak terbabit dalam kegiatan samseng jalanan, namun tidak diendahkan.

Iklan

Sinar Harian yang berpeluang menyertai operasi tersebut mendapati suasana di sekitar lokasi mula 'meriah' sekitar jam 2.30 pagi apabila kumpulan penunggang motosikal berkumpul dan melakukan pelbagai aksi berbahaya.

Operasi membanteras samseng jalanan itu melibatkan lebih 100 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor.

Iklan

Tindakan pantas pihak berkuasa menutup dua persimpangan utama serta beberapa lorong tikus di sekitar kawasan terbabit berjaya menyekat cubaan penunggang motosikal meloloskan diri.

Malah, ada antara mereka sanggup mempertaruhkan nyawa dengan memecut melawan arus dan menunggang secara melulu semata-mata mahu mengelak daripada ditahan.

Dalam operasi sama, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun turut dicekup selepas dipercayai melakukan pelbagai aksi berbahaya di jalan raya.

Remaja terbabit mendakwa meminjam motosikal milik bapanya secara senyap semata-mata mahu menunjukkan kehebatan menunggang.

Difahamkan, Persiaran Raja Muda Musa menjadi lokasi tumpuan kegiatan lumba haram membabitkan anak muda tempatan serta penunggang motosikal dari luar daerah Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, operasi bersepadu itu dijalankan hasil risikan pihaknya sejak tiga minggu lalu.

Beliau berkata, sebanyak 128 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi dijalankan.

"Sebanyak 23 kes membabitkan cukai jalan tamat tempoh, dua kes melibatkan penunggang bawah umur, 33 kes tiada nombor pendaftaran, lapan kes ubah suai ekzos dan empat kes ubah suai struktur motosikal dikesan.

"Turut direkodkan, 13 kesalahan tiada cermin sisi, sembilan kes tiada lesen memandu, dua kes brek tidak berfungsi dan satu kesalahan berkaitan pemakaian topi keledar," katanya pada Ahad.

Katanya, sebanyak 33 motosikal telah disita atas pelbagai kesalahan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 melibatkan tujuh tangkapan, manakala seorang lagi disiasat mengikut Seksyen 108(3) akta sama," katanya.

Menurut beliau, kesemua individu yang diperiksa dan ditahan berusia antara 14 hingga 39 tahun.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa agar lebih peka dengan pergerakan anak-anak supaya tidak terjebak dalam kegiatan tidak bermoral dan menyalahi undang-undang.

"Kegiatan lumba haram turut didorong oleh sikap segelintir penonton yang bukan sahaja bersorak memberi semangat, malah ada yang membuat siaran langsung menerusi aplikasi media sosial.

"Tindakan ini secara tidak langsung menggalakkan lagi penglibatan anak muda dalam perlumbaan haram dan aksi berbahaya yang boleh meragut nyawa," katanya.

Ramli berkata, polis akan meneruskan operasi secara berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta mengekang kegiatan samseng jalanan di daerah ini.