Waspada sebelum sertai program motivasi

Iklan
Sebuah program motivasi wanita bertopeng spiritual mencetuskan kontroversi apabila didedahkan mengandungi ritual meragukan dan unsur tidak bermoral. Gambar hiasan

APA yang pada zahirnya dilihat sebagai program motivasi untuk wanita berkahwin rupa-rupanya menyimpan sisi gelap yang mengejutkan.

Bertopengkan jenama kerohanian dan kekeluargaan, program yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen terkenal di sini kini menjadi perhatian selepas pendedahan mengejutkan oleh bekas peserta yang mendedahkan elemen ritual meragukan dan perlakuan tidak bermoral yang mencabar norma masyarakat.

Iklan
Iklan

Program tiga hari yang dijenamakan sebagai platform ‘penyembuhan dalaman wanita’ itu bukan sahaja mengundang kecaman hebat warganet, malah mencetuskan siasatan penuh oleh pihak berkuasa agama dan polis.

Pelbagai dakwaan timbul termasuk aktiviti tarian separuh bogel oleh fasilitator, pemberian minuman tidak dikenali yang mengubah emosi peserta, serta upacara ‘kelahiran semula’ yang menyerupai ritual keagamaan asing.

Iklan

Menurut sumber, program berkenaan dihadiri kira-kira 50 wanita dan dianjurkan oleh sepasang suami isteri yang mempromosikannya sebagai sesi pemulihan diri dan perkahwinan.

Namun, apa yang berlaku dalam sesi tertutup pada hari terakhir menimbulkan pelbagai persoalan moral dan undang-undang.

Iklan

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan bahawa satu laporan telah dibuat oleh suami kepada salah seorang peserta pada Februari lalu.

Kertas siasatan telah dibuka dan pihak polis kini sedang mengumpulkan maklumat serta meminta mana-mana individu yang memiliki bahan bukti supaya tampil membantu siasatan.

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyatakan bahawa pihaknya akan memanggil beberapa individu terlibat untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan penyebaran doktrin palsu.

JAIS turut mendedahkan bahawa pihak penganjur pernah diberi amaran pada tahun 2022 agar menyesuaikan modul program dengan kehendak syarak, namun dakwaan menunjukkan beberapa elemen kontroversi tetap diteruskan.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee memaklumkan bahawa Jakim bersama JAIS akan menyelaras tindakan lanjut dan tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras pencerobohan nilai Islam dalam mana-mana program bertopengkan spiritual.

Dalam kenyataan berasingan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan bahawa program tersebut bukan dianjurkan oleh kerajaan negeri dan menyerahkan sepenuhnya kepada JAIS dan PDRM untuk menyiasat serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap penganjur.

Menurut laporan portal tempatan, antara yang paling mencetuskan kebimbangan ialah dakwaan pemberian minuman dinamakan ‘Piya’ yang didakwa memberi kesan emosi mendadak kepada peserta.

Sesi ‘Rebirth’ atau kelahiran semula pula didakwa berlangsung dalam suasana gelap dengan bacaan skrip tertentu yang menyerupai amalan spiritual bukan Islam.

Pakar syariah dan sosiologi agama menyifatkan kes ini sebagai contoh jelas bagaimana unsur-unsur penyimpangan akidah boleh menyusup masuk melalui program motivasi yang gagal ditapis dengan baik.

Mereka menggesa kerajaan agar menilai semula sistem pemantauan dan akreditasi terhadap semua program pembangunan diri dan kekeluargaan yang melibatkan elemen spiritual.

Insiden ini wajar menjadi iktibar kepada masyarakat, terutama umat Islam, agar tidak mudah terpedaya dengan program yang berjenama keagamaan atau kekeluargaan tetapi dijalankan tanpa pemantauan sah.

Setiap individu, terutamanya wanita yang menjadi sasaran utama program seumpama ini, harus lebih peka dan berhati-hati sebelum menyertai mana-mana kursus yang mendakwa mampu memberi ‘penyembuhan rohani’ atau ‘pencerahan emosi’.

Saringlah dengan teliti latar belakang penganjur, semak modul yang digunakan, dan rujuk pandangan ahli agama atau institusi berkaitan sebelum melibatkan diri.

Jangan biarkan keinginan untuk berubah menjadi pintu kepada eksploitasi emosi, spiritual atau fizikal.