KKM tangani kekurangan jururawat dengan langkah jangka panjang - Dr Dzulkefly

Iklan
Dr Dzulkefly

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus komited menangani isu kekurangan jururawat yang semakin meruncing di negara ini melalui pelaksanaan pelbagai langkah konkrit dan bersifat jangka panjang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, setakat Jun 2025, jumlah jururawat termasuk jururawat masyarakat di seluruh negara adalah seramai 120,667 orang, merangkumi sektor awam dan swasta.

Iklan
Iklan

Namun begitu, kekosongan jawatan jururawat di fasiliti awam mencatatkan angka sebanyak 14,000, sekali gus mencetuskan keperluan mendesak untuk penambahan tenaga kerja dalam sektor kesihatan.

“Antara langkah yang telah dilaksanakan termasuk pengambilan graduan kejururawatan dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) secara berfasa melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Iklan

“Pada masa sama, kapasiti pelatih Institut Latihan KKM (ILKKM) telah digandakan daripada 1,500 kepada 3,000 orang setahun bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

“Program Peningkatan Secara Lantikan (PSL) turut ditambah daripada 800 kepada 1,000 pelatih setahun bagi meningkatkan bilangan jururawat berkelayakan dalam perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Tambah beliau, moratorium ke atas program kejururawatan swasta telah ditamatkan dan sebanyak 12 institusi baharu telah memohon untuk menawarkan program diploma kejururawatan.

Syarat kemasukan ke program diploma turut dilonggarkan daripada lima kepada tiga kredit Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tempoh Januari 2025 hingga Disember 2026. Permohonan juga dibuka kepada lepasan STPM, STAM, SVM, UEC dan kelayakan setaraf.

“Walaupun syarat dilonggarkan, subjek teras seperti Bahasa Melayu, Matematik dan Sains masih diwajibkan kredit bagi menjamin kualiti graduan,” katanya.

Sebagai langkah interim, pengambilan jururawat terlatih warga asing (JTWA) di fasiliti swasta dibenarkan di bawah syarat yang ketat — antaranya had maksimum 40 peratus daripada jumlah jururawat tempatan, wajib lulus peperiksaan kelayakan Lembaga Jururawat Malaysia (LJM), serta mematuhi syarat penggajian yang ditetapkan.

“Langkah ini tidak melibatkan fasiliti awam dan tidak menjejaskan peluang jururawat tempatan,” tegas beliau.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly menjelaskan pemberian Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) tidak dapat dilaksanakan buat masa ini susulan kekurangan jumlah petugas yang menghalang pelaksanaan Waktu Bekerja Berlainan (WBB).

Beliau turut menjelaskan sistem ePlacement yang ditambah baik kini membolehkan 2,248 Pegawai Perubatan membuat semakan penempatan mulai 8 Julai, dengan tempoh rayuan dari 8 hingga 14 Julai dan keputusan rayuan diumumkan pada 19 Ogos 2025.

Dr Dzulkefly memaklumkan bahawa Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja KKM telah disiapkan dan bakal dilancarkan pada Oktober 2025 sempena Bulan Kesihatan Mental Sedunia.

Antara pencapaian lain termasuk pindaan Akta Perubatan 1971 [Akta 50], pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam [Akta 852], serta usaha penandaan dan pemaparan harga ubat di fasiliti swasta menerusi Akta 723.

Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia berjaya membawa usul Resolusi Kesihatan Paru-Paru ke Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-78 (WHA78), yang kini diterima oleh WHO.

Dalam usaha memperkukuh sistem, KKM telah memulakan reformasi melalui inisiatif RESET bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan Bank Negara Malaysia (BNM), merangkumi MHIT, DRG dan FPP.

“Pendigitalan sistem kesihatan turut digerakkan melalui pelaksanaan Cloud-based Clinic Management System (CCMS) di 156 klinik kesihatan serta penambahbaikan aplikasi MySejahtera,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kepimpinan dalam kesihatan bukan sekadar retorik tetapi tanggungjawab besar yang menuntut keberanian untuk membuat pembaharuan.

“Antara ‘shape up or ship out,’ saya memilih untuk shape up, bukan dengan slogan, tetapi dengan kerja. Saya tidak menjanjikan segalanya akan selesai segera. Tetapi saya berjanji, kami mendengar, kami bertindak dan kami tidak akan berdiam,” katanya.