SUNGAI PETANI - Penulis buku popular, Ibnu Rijal melancarkan buku terbaharunya, Alfu Sanatin II sebagai kesinambungan daripada edisi pertama yang mencatat jualan mencecah 40,000 naskah.
Menurut Ibnu Rijal, buku Alfu Sanatin II dihasilkan bagi mengisi kelompongan dalam pemetaan sejarah Islam, khususnya aspek sejarah Islam moden yang jarang dibicarakan secara tersusun.
“Ramai menulis mengenai sejarah Islam klasik, tetapi sejarah Islam moden, termasuk tokoh dan peperangan dalam kerangka sejarah Islam itu kurang diketengahkan.
“Sebab itu saya menulis buku ini untuk memberi gambaran jelas kepada pembaca mengenai peristiwa dan tokoh Islam, mengikut garis masa dan tempat ia berlaku, agar tidak bercampur aduk,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran buku Alfu Sanatin II, disempurnakan oleh Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Mohammad Yaakub Yusra di Masjid Darul Murtadha pada Sabtu.
Ibnu Rijal, 35, berkata, kekuatan buku tersebut terletak pada susunan mengikut garis masa dan tempat, berbeza berbanding buku sejarah lain yang menyebabkan pembaca keliru tentang era dan hubungan antara tokoh-tokoh besar Islam.
“Buku pertama yang dilancarkan pada tahun lepas memfokus kepada keseluruhan politik, sosial dan ekonomi, manakala buku kedua menyambung semula misi pemetaan sejarah Islam moden itu.
“Saya mengharapkan sambutan buku kedua lebih baik daripada edisi pertama kerana kajian saya mendapati hampir tiada sejarah Islam dunia moden yang dibukukan secara lengkap,” katanya lagi.
Ibnu Rijal memaklumkan, buku ketiga akan menyusul dengan hampir 40 peratus siap, yang memfokuskan sejarah Yahudi menggunakan konsep sama bagi membantu masyarakat memahami bagaimana Yahudi bermula hingga terpisah dengan Kristian dan hubungan di peringkat dunia.
Beliau yang juga pembantu penulis skrip drama Nur berkata, buku tersebut ditulis dalam bahasa santai dengan fakta berat namun disusun dengan penyampaian mudah agar generasi muda lebih tertarik untuk membaca dan menjadikannya sebagai rujukan.
“Buku ini sesuai untuk semua peringkat, daripada pelajar sekolah menengah hingga warga emas kerana ia ditulis seperti kita berbual, bukan menggunakan bahasa laras buku teks,” ujarnya.
Ibnu Rijal berharap agar masyarakat, khususnya generasi muda kembali membudayakan membaca buku kerana ia dapat mengeluarkan seseorang daripada kegelapan, kejahilan serta taasub kepada sesuatu tanpa ilmu.
“Membaca adalah jalan untuk kita keluar daripada kolam derita, kejahilan dan ketaasuban,” katanya yang telah menghasilkan 14 buah karya.
Sementara, Pengurus Jualan Grup Buku Karangkraf, Roziyana Omar berkata, pelancaran Alfu Sanatin II kali ini berbeza kerana memilih lokasi di luar Kuala Lumpur dan mendapat sambutan menggalakkan dengan kerjasama MADAD.
“Kebiasaannya kita lancarkan buku di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur atau kedai buku Karangkraf, kali ini kita inginkan kelainan dan ia menerima sambutan baik.
“Buku ini sudah masuk cetakan ketiga dengan anggaran hampir 15,000 naskah dalam masa beberapa bulan diterbitkan, dengan cetakan pertama 7,000 naskah,” katanya.
Tambahnya, Alfu Sanatin II diyakini mampu menjadi buku ‘evergreen’ kerana sesuai dijadikan bacaan atau rujukan pengajian pada bila-bila masa, bukan sekadar bergantung pada musim atau waktu tertentu.
“Walaupun buku kedua telah berada di pasaran, permintaan untuk buku pertama masih tinggi dan kekal berada dalam carta jualan kedudukan tiga teratas di kedai-kedai buku popular,” katanya.