Cadangan tahanan rumah untuk Najib tidak munasabah - MP Kepong

Iklan
Lim Lip Eng

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menyifatkan cadangan agar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah sebagai tidak munasabah dan wajar ditolak secara tegas.

Menurut beliau, permintaan sedemikian mencabar prinsip keadilan dan menimbulkan persepsi wujudnya layanan istimewa terhadap tokoh politik yang berpengaruh.

Iklan
Iklan

"Najib telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah tertinggi negara dalam kes salah guna dana awam.

"Jika individu yang terlibat dalam skandal kewangan terbesar dalam sejarah negara diberikan keistimewaan tahanan rumah, apakah mesej yang kita sampaikan kepada rakyat biasa, penjawat awam dan pemimpin lain?

Iklan

"Adakah undang-undang hanya tegas kepada golongan yang tidak berpengaruh dan tiada jawatan?" katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Lip Eng berkata, sabitan jenayah perlu dihormati dan dilaksanakan mengikut keputusan mahkamah tanpa sebarang kelonggaran luar biasa.

Iklan

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh menjadi negara yang mengamalkan undang-undang dua darjat.

"Kedaulatan undang-undang perlu ditegakkan secara saksama, berintegriti dan konsisten terhadap semua tanpa pengecualian," tegasnya.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa AGC memaklumkan kepada Mahkamah Persekutuan bahawa mereka tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan rumah.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, menyatakan bahawa AGC mempersoalkan prosedur pengemukaan titah tersebut sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, UMNO dilaporkan mengemukakan cadangan agar bekas Perdana Menteri itu dibenarkan menjalani hukuman secara tahanan rumah, mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat dan pemerhati undang-undang.