SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menjalankan siasatan lanjut terhadap dakwaan berlakunya unsur yang bertentangan dengan hukum syarak dalam satu program motivasi rumah tangga yang didakwa songsang dan berlangsung di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam pada September tahun lalu.
Menurut Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, beberapa individu akan dipanggil pada Selasa ini untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan doktrin palsu kerana disyaki berlaku suatu upacara atau perbuatan berkaitan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak.
“JAIS telah berbincang dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bekerjasama menjalankan siasatan mengikut bidang kuasa agensi masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau memaklumkan bahawa walaupun tiada aduan diterima semasa program berkenaan berlangsung dari 27 hingga 30 September lalu, JAIS pernah menerima aduan pada tahun 2022 daripada bekas peserta program sama.
“Aduan tersebut mendakwa terdapat beberapa modul dalam program motivasi rumah tangga itu yang dianggap tidak wajar dan tidak sesuai.
“Susulan itu, penganjur telah dipanggil ke Panel Pendengaran di bawah Jawatankuasa Pengawalan Akidah, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan telah diarahkan untuk membuat pindaan modul agar mematuhi syarak,” katanya.
Tambah beliau, JAIS memandang serius isu yang melibatkan penyebaran ajaran atau perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam serta nilai etika yang ditolak oleh masyarakat.
“JAIS akan mengambil semua langkah yang perlu untuk membendung serta membanteras sebarang aktiviti yang bercanggah dengan hukum syarak di negeri Selangor mahupun negara ini,” tegasnya.
Sehubungan itu, JAIS menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan program tersebut agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS melalui talian Hotline 1-800-88-2424 atau hadir ke pejabat JAIS terdekat.
Terdahulu, masyarakat dikejutkan dengan pendedahan seorang pengguna media sosial mengenai program yang diusahakan oleh sepasang suami isteri.
Dalam hantaran terbaharu di laman Facebook pengguna terbabit, turut didakwa dua wanita telah melakukan tarian bogel dalam program yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam.
Peserta program itu juga didakwa diberi sejenis air yang tidak diketahui kandungannya sehingga menyebabkan perubahan emosi dalam tempoh singkat.
Selain itu, peserta turut diarahkan melakukan upacara ‘mandi suci’ dan ‘kelahiran semula’ yang menyerupai ritual keagamaan lain.
Pendedahan tersebut mengundang kemarahan serta kritikan dalam kalangan masyarakat.