Pergiat diplomasi kemanusiaan, terus beri tekanan politik kepada Israel - ABIM

Iklan
Ahmad Fahmi

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa Kerajaan Madani, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan blok serantau seperti ASEAN untuk terus mempergiat diplomasi kemanusiaan di samping memberikan tekanan politik kolektif terhadap rejim Israel.

Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, penzahiran solidariti bukan sekadar melalui kenyataan, tetapi tindakan konsisten termasuk mendepani hipokrasi kuasa besar yang terus melindungi penindasan atas nama keselamatan dan geopolitik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dunia menyaksikan pembunuhan sistematik, pembersihan etnik dan penindasan terang-terangan oleh rejim Zionis terhadap rakyat Palestin di Gaza sepertimana Tragedi Srebrenica 30 tahun lampau.

Jelas beliau, pihaknya menzahirkan dukacita dan kebimbangan mendalam terhadap pengulangan episod genosid kemanusiaan di Gaza, tepat 30 tahun selepas tragedi berdarah di Srebrenica pada Julai 1995.

Iklan

“Tragedi Srebrenica yang mengorbankan lebih 8,000 lelaki dan remaja Muslim Bosnia telah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa sebagai genosid paling dahsyat di Eropah pasca Perang Dunia Kedua.

“Fakta sejarah mencatatkan bahawa Israel pernah menyalurkan bantuan persenjataan kepada rejim Serbia semasa konflik Bosnia pada awal 90-an meskipun mangsa yang dibunuh adalah umat Islam tidak bersenjata.

Iklan

“Kini, Israel bukan sahaja pembekal malah pelaku langsung kepada jenayah kemanusiaan sekali gus melanggar prinsip undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ahmad Fahmi menegaskan, resolusi dan solidariti bersifat simbolik semata-mata tidak lagi mencukupi.

Justeru, katanya, masyarakat antarabangsa mesti mengambil langkah konkrit dan berani antaranya mengenakan tekanan diplomatik serta ekonomi ke atas rejim Zionis agar segala tindakan ketenteraan dihentikan serta-merta.

Tambahnya, pelaku jenayah kemanusiaan seperti rejim Zionis wajib diheret ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

“Masyarakat antarabangsa perlu tamatkan budaya impuniti yang membolehkan Israel terus melanggar undang-undang tanpa bertanggungjawab.

“Gerakkan bantuan kemanusiaan secara kolektif dan menyeluruh khususnya dalam aspek makanan, kesihatan serta pemulihan trauma.

“Sesungguhnya kita tidak berhak memperingati peristiwa Srebrenica jika terus membisu terhadap isu Gaza. Sekiranya kekejaman masih berlaku tanpa ada tindakan, kita sedang menyaksikan kegagalan yang lebih parah daripada masa lampau,” ujar Ahmad Fahmi lagi.