JOHOR BAHRU – Kesemua lima pegawai polis yang terlibat dalam nahas helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU), Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Gelang Patah dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, empat daripada pegawai terbabit telah sedar dan boleh berkomunikasi manakala dua lagi masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk seorang pegawai yang masih ditidurkan bagi mempercepatkan proses pemulihan.
“Seperti yang rakan-rakan media sedia maklum, semalam berlaku satu kemalangan dan lima pegawai polis sedang menerima rawatan di hospital ini sejak semalam.
“Penjelasan yang diberikan oleh doktor tadi menyatakan bahawa kesemua mereka berada dalam keadaan stabil. Kita doakan mereka segera sembuh.
“Saya berpeluang melawat dan bercakap dengan empat pegawai tadi. Alhamdulillah, mereka berada dalam keadaan stabil dan kita berharap dalam masa terdekat mereka akan pulih seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika melawat kelima-lima mangsa nahas helikopter PGU PDRM yang terhempas pada Khamis.
Turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar; Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dan M Kumarasan dari Iskandar Puteri.
Untuk rekod, helikopter jenis AS355N milik PDRM dengan nombor pendaftaran 9M-PHG dilaporkan terhempas berhampiran Jeti APMM, Gelang Patah ketika sedang melakukan lintas hormat sebagai sebahagian daripada demonstrasi Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM 2025).
Difahamkan, MITSATOM 2025 melibatkan empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.
Terdahulu, menurut kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), helikopter tersebut berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada jam 9.51 pagi, membawa lima penumpang termasuk juruterbang sebelum terhempas di lokasi kejadian.