SHAH ALAM – Majlis Raja-Raja wajar dirujuk sekiranya kemelut pelantikan kehakiman yang mencetuskan kegemparan baru-baru ini terus berlarutan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, cadangan tersebut patut dipertimbangkan meskipun Majlis Raja-Raja tidak terlibat secara langsung dalam hal ehwal politik negara.
“Raja-raja tidak terlibat dalam politik, sama ada politik berparti atau seumpamanya, tetapi apabila timbul satu masalah di mana ahli politik berpecah sehingga tidak dapat berbuat apa-apa, sampaikan tidak boleh ada persidangan dewan untuk menentukan keputusan, apa yang kita hendak buat? Kita kena rujuk Majlis Raja-Raja walaupun ia tidak disebut dalam Perlembagaan.
“Kalau tidak rujuk Raja-raja, kita hendak rujuk siapa? Keadaan ini luar biasa. Raja-raja, walaupun tidak diperuntukkan kuasa sebegitu secara langsung, perlulah mengambil berat tentang masalah dihadapi negara dan rakyat,” katanya dalam sesi sidang akhbar yang disiarkan secara langsung pada Jumaat.
Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili Sekretariat Pertahan Sistem Kehakiman turut membentangkan dua resolusi iaitu meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan serta-merta atas dakwaan konflik kepentingan dalam proses pelantikan hakim yang gagal dipertahankannya.
Kedua, sekretariat memohon agar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menurut budi bicara Baginda di bawah Perkara 40(2)(c) Perlembagaan Persekutuan untuk memanggil serta mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja berkenaan keistimewaan, kedudukan dan kebesaran Raja-raja Melayu serta tindakan yang wajar diambil.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa sembilan ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berpandangan bahawa kemelut pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman perlu diberi perhatian segera, memandangkan situasinya dilihat mirip skandal video VK Lingam pada 2007, yang membabitkan cubaan mempengaruhi pelantikan Ketua Hakim Negara ketika itu.
Beliau berkata, beberapa maklumat yang kini tular dalam pengetahuan awam mesti dijelaskan segera bagi mengelakkan krisis kepercayaan terhadap kerajaan dan institusi kehakiman.
Sidang media tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik; dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.
Dua lagi Ahli Parlimen PKR yang tidak hadir tetapi menyokong pendirian berhubung reformasi institusi kehakiman tersebut ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar.
Terbaharu, Majlis Peguam Malaysia dilaporkan bakal mengadakan perarakan aman pada 14 Julai ini dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi menyerahkan memorandum penting yang menuntut tindakan segera demi mempertahankan kebebasan institusi kehakiman negara.
Presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, perarakan tersebut adalah manifestasi kebimbangan yang semakin serius terhadap kekosongan jawatan utama kehakiman, kelewatan pelantikan serta dakwaan campur tangan dalam urusan pelantikan.
Selain itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut mencadangkan agar Anwar mengambil cuti bagi menghilangkan prejudis terhadap proses pelantikan hakim baharu.
Anwar, yang juga Ahli Parlimen Tambun, menegaskan bahawa proses pelantikan kehakiman perlu dihormati oleh semua pihak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta bidang kuasa yang ditetapkan.