Pemimpin perlu elak tutur perkataan kesat

Iklan
Mohamad Shukri

SHAH ALAM - Pemimpin perlu berpegang kepada akhlak Islam dengan mengelak menuturkan perkataan tidak memberi makna termasuk kata-kata kesat.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, sebagai pemimpin adalah wajar memberi contoh dan teladan terbaik.

Iklan
Iklan

"Sama ada pemimpin atau yang dipimpin (rakyat)..kita suburkanlah akhlak Islam. Salah satunya menjaga lidah daripada menuturkan perkataan tidak sepatutnya, perkataan sia-sia, tidak memberi makna dan menyakitkan hati.

"Islam mengingatkan salah satu eloknya akhlak seseorang itu ialah tidak menuturkan atau melakukan perbuatan tidak berfaedah.

Iklan

"Jadi, tidak kira siapa pun, semua harus memperbetulkan diri dengan mendidik dan membudayakan akhlak Islam dalam kehidupan seharian. Janganlah kita terlalu mudah mengeluarkan perkataan tidak sepatutnya, apatah lagi kalau individu itu pemimpin," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, tular video ucapan beberapa pemimpin mengeluarkan perkataan kesat sehingga mencetuskan pelbagai reaksi.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, setiap pemimpin terutama beragama Islam perlu menunjukkan contoh terbaik, apatah lagi dengan Ramadan bakal tiba tidak lama lagi.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman juga senada apabila mengakui kepimpinan Islam bukan sekadar keberanian bersuara, tetapi bijak menjaga kata.

Mohd Sukki

Ujarnya, lidah terpelihara adalah tanda kematangan iman dan kewibawaan seorang pemimpin.

"Islam meletakkan adab pertuturan pada kedudukan sangat tinggi, lebih-lebih lagi bagi mereka memegang amanah kepimpinan. Setiap ucapan bukan sekadar suara peribadi tetapi membawa kesan kepada masyarakat.

"Bagi seorang pemimpin, kata-kata bukan sahaja mencerminkan peribadi, bahkan menjadi contoh (qudwah). Ulama menegaskan kerosakan akhlak pemimpin akan menular kepada rakyat kerana manusia cenderung meniru orang yang berkuasa," katanya.