ISKANDAR PUTERI – Bangkai helikopter jenis AS355N yang terhempas berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah pada pagi Khamis masih belum dinaikkan.
Tinjauan dari Jambatan Sungai Pulai mendapati terdapat dua pelampung hitam yang dipercayai digunakan untuk menandakan lokasi bangkai helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikesan di sungai berkenaan.
Difahamkan, siasatan sedang giat dijalankan di lokasi nahas oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan serta Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM sebelum bangkai helikopter tersebut dinaikkan.
Bangkai helikopter itu dipercayai akan dinaikkan hanya selepas siasatan di lokasi selesai.
Pada Khamis, sebuah helikopter milik PDRM terlibat dalam kemalangan ketika menjalani simulasi lintas hormat sempena latihan Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM 2025) berhampiran Sungai Pulai.
Insiden itu berlaku di perairan berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), iaitu lokasi latihan melibatkan empat negara – Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataannya mengesahkan kemalangan itu melibatkan helikopter jenis AS355N dengan nombor pendaftaran 9M-PHG.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, dua daripada lima mangsa kini diberikan bantuan pernafasan, manakala tiga yang lain dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Kru yang terlibat dalam insiden tersebut membabitkan dua pegawai kanan dan tiga anggota polis termasuk juruterbang dari PGU PDRM, Bukit Aman serta anggota dari Balai Polis Tanjung Kupang.