Penganggur ditahan terlibat edar dadah bernilai RM960,000

Iklan
Jauteh menunjukkan antara dadah yang dirampas dalam sidang media di IPK Sabah.

KOTA KINABALU – Polis Sabah berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM960,000 dalam beberapa siri serbuan di sekitar bandar raya ini pada Jumaat lalu.

Dalam operasi yang dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun yang juga penganggur ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah seberat lebih 20 kilogram.

Iklan
Iklan

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah kondominium dan hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 790.56 gram dadah dipercayai jenis syabu.

“Dadah tersebut dianggarkan bernilai RM25,000 dan turut ditemui mesin mengira wang, alat penimbang digital serta peralatan membungkus dadah," katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah di Padang Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini pada Jumaat.

Iklan

Jauteh berkata, susulan tangkapan itu, serbuan kedua dilakukan keesokan harinya kira-kira jam 7.50 pagi di sebuah lagi kondominium yang disewa di pusat bandar dan pemeriksaan lanjut menemui sebanyak 14.14 gram dadah disyaki jenis ketamin.

Dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan dan luar negara.

Iklan

“Seterusnya, pada hari yang sama kira-kira jam 11.30 pagi, satu lagi pemeriksaan dilakukan terhadap sebuah kenderaan yang ditinggalkan di kawasan parkir.

"Pemeriksaan menemui sebuah bagasi mengandungi 12.7 kilogram syabu, 6.9 kilogram ketamin, serta 25 peket dan 10 biji pil ekstasi,” katanya.

Beliau berkata, dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan dan luar negara.

“Sebahagian dadah ini seperti jenis jus dipercayai digunakan untuk kegunaan tempatan, manakala selebihnya dihantar ke luar negara iaitu negara jiran,” katanya.

Tambah beliau, suspek yang juga warga tempatan dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah telah bergiat aktif dalam kegiatan tersebut sejak setahun lalu.

Menurut Jauteh, pihak polis turut menyita harta bernilai RM240,000 yang disyaki mempunyai kaitan dengan hasil aktiviti pengedaran dadah berkenaan.

“Suspek dalam kes ini masih ditahan reman dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.