TEHERAN – Menteri Luar Iran, Seyyed Abbas Araghchi menegaskan bahawa Teheran bersedia menyambung semula rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat (AS) jika Washington memohon maaf dan memberi jaminan tidak akan melancarkan serangan ketenteraan semasa rundingan berlangsung.
Dalam temu bual bersama akhbar Le Monde yang diterbitkan pada Khamis, Araghchi menekankan bahawa Iran sentiasa terbuka dengan sebarang bentuk rundingan yang berlandaskan maruah, logik dan saling menghormati.
Bagaimanapun, katanya, AS terlebih dahulu perlu menunjukkan perubahan sikap serta menghentikan sebarang tindakan provokatif.
“Diplomasi adalah jalan dua hala. AS yang meninggalkan rundingan dan memilih tindakan ketenteraan. Mereka perlu memikul tanggungjawab serta menunjukkan komitmen baharu jika mahu kembali ke meja rundingan,” katanya.
Menurut Araghchi, serangan tentera AS ke atas beberapa kemudahan nuklear Iran telah menyebabkan kerosakan besar dan Teheran berhak menuntut ganti rugi selepas penilaian penuh dijalankan.
Beliau menyifatkan tindakan memusnahkan program nuklear aman sebagai satu kesilapan besar dan tidak akan menggugat keazaman rakyat Iran yang telah mencapai kemajuan dalam bidang sains.
Katanya, program nuklear Iran sentiasa berada di bawah pemantauan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan laporan badan itu konsisten menunjukkan tiada penyelewengan ke arah pembangunan senjata.
Beliau turut memberi amaran bahawa serangan ke atas fasiliti nuklear yang dipantau IAEA serta kegagalan negara Barat untuk mengecam tindakan tersebut merupakan pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa, khususnya Perjanjian Anti-Penyebaran Senjata Nuklear (NPT).-Agensi