KUALA SELANGOR - Sebuah hotel yang beroperasi tanpa lesen sejak tujuh tahun lalu diserbu Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) di Taman Sri Pristana di sini pada Khamis.
Serbuan kira-kira jam 10 pagi itu menyaksikan premis tersebut diarahkan tutup serta-merta, selain peralatan perniagaan turut disita.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPKS, Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, operasi itu dijalankan pihaknya bagi membanteras aktiviti perniagaan tanpa kebenaran di daerah ini.
"Semakan mendapati hotel dua tingkat ini telah beroperasi tanpa lesen perniagaan sah sejak 2018," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Mohamad Lutfi berkata, MPKS sebelum ini telah mengeluarkan beberapa kali amaran termasuk tindakan kompaun kesalahan pada April lalu.
Bagaimanapun, katanya, pengusaha hotel masih tidak mengendahkan perkara itu dan masih meneruskan operasi.
Mohamad Lutfi menjelakan, sepanjang empat jam operasi itu dijalankan, pihaknya mengambil pelbagai tindakan penguatkuasaan terhadap premis tersebut.
"Kami mengambil tindakan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Hotel (MDKS) 2013 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dan Undang-Undang Kecil Iklan (MDKS) 2007 iaitu mempamerkan iklan tanpa lesen.
"Selain itu, ia melibatkan notis memberhentikan perniagaan dan amaran menurunkan papan iklan selain sitaan peralatan," ujarnya.
Katanya, notis pemberitahuan dan kompaun mengikut Seksyen 70(11) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) turut dikeluarkan atas kesalahan mengubah suai bangunan tanpa kelulusan bertulis MPKS.
Sehubungan itu, jelas beliau, semua pengusaha premis dinasihatkan sentiasa mematuhi undang-undang dan mendapatkan kelulusan sah sebelum memulakan operasi perniagaan.
"Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang mengingkarinya," tambahnya.