KPDN Pahang gempur premis alih LPG ke stor tanpa lesen

Iklan
Anggota penguat kuasa KPDN Pahang melakukan pemeriksaan ke atas treler membawa tong gas yang berada di kawasan premis di Jalan Mancis, Bsntong yang digempur pada Khamis.

KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang menggempur sebuah premis di Jalan Manchis, Bentong pada Khamis kerana disyaki menjalankan aktiviti menjual gas petroleum cecair (LPG) secara borong tanpa lesen yang sah.

Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, dalam operasi penguatkuasaan khas di bawah Ops Gasak 2025 itu, pihaknya melakukan rampasan tiga buah lori bersama 1,105 tong gas dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM621,000.

Iklan
Iklan

Menurutnya, operasi itu merupakan hasil risikan yang telah dijalankan selama sebulan terhadap premis berkenaan.

Anggota penguat kuasa KPDN Pahang melakukan pemeriksaan ke atas tong-tong gas yang berada di kawasan premis di Jalan Mancis, Bentong yang digempur pada Khamis.

Iklan

"Hasil pemeriksaan ke atas premis terbabit menemui tiga lori membawa muatan tong gas yang dipercayai untuk tujuan penghantaran atau penyimpanan.

"Berdasarkan dokumen yang dikemukakan, lesen borong LPG milik premis berkenaan telah tamat tempoh, sekali gus wujud pelanggaran undang-undang di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu menjual secara borong barang kawalan tanpa lesen yang sah.

Iklan

"Turut dikesan kesalahan di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961, iaitu mengalih barang kawalan dari lokasi berlesen ke lokasi tidak berlesen," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jezlily berkata, siasatan awal juga mendapati muatan tong gas yang ditemui sepatutnya dihantar ke premis lain di Mentakab namun telah dialihkan ke premis yang berbeza daripada alamat yang dinyatakan dalam invois.

Lori treler jenis Hino membawa 700 tong gas yang berada di premis berkenaan turut disita.

Beliau berkata, dokumen-dokumen berkaitan turut disita bagi tujuan siasatan lanjut.

"Dalam usaha memperkukuh inisiatif 'Kita Gempur', KPDN Pahang tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau syarikat yang melanggar peruntukan undang-undang berkaitan barang kawalan.

"Tindakan tegas akan diambil demi memastikan keselamatan pengguna dan kestabilan rantaian bekalan di pasaran," ujarnya.

Justeru, beliau meminta kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan oleh peniaga, khususnya melibatkan penyelewengan atau pelanggaran undang-undang berkaitan barang kawalan.

"Laporan boleh disalurkan melalui pelbagai saluran aduan rasmi KPDN," katanya.