'Bandar kemanusiaan', penjara ciptaan Israel

Iklan
Zionis terus memperhebatkan kempen pengeboman ke atas kawasan yang sudah binasa di wilayah itu.

TEL AVIV - Israel merancang untuk menubuhkan 'bandar kemanusiaan' di tapak runtuhan di Rafah, selatan Genting Gaza di bawah pelan jahat untuk menguasai wilayah tersebut.

Rancangan mewujudkan 'kem tahanan' yang telah mencetuskan kebimbangan pejuang hak asasi manusia itu didedahkan Menteri Pertahanan, Israel Katz pada awal minggu lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Kementerian Pertahanan sudah mula merancang penubuhan zon tersebut, namun butiran tentang pelan keji itu tidak dinyatakan dengan jelas.

Idea itu ditentang banyak pihak terutamanya aktivis yang percaya ia sebenarnya 'penjara terbuka' buat penduduk Palestin.

Iklan

Peguam hak asasi manusia terkemuka Israel, Michael Sfard menyifatkan skim tersebut sebagai pelan operasi untuk meneruskan jenayah kemanusiaan di Gaza.

“Ia tetap satu bentuk pemindahan secara paksa walaupun Pasukan Pertahanan Israel (IDF) cuba mengaburi mata komuniti dunia dengan menguar-uarkan ia sebagai skim sukarela,” ujarnya.

Iklan

Pelan 'bandar kemanusiaan' itu dibuat selepas Israel menolak cadangan pindaan kandungan perjanjian gencatan senjata dikemukakan Hamas yang menuntut pengunduran IDF dan penamatan perang secara kekal.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamas dilaporkan bersetuju untuk membebaskan kira-kira 10 tawanan selepas Tel Aviv memberi isyarat tempoh bertenang itu bakal dicapai dalam tempoh dua minggu lagi. - Agensi

Info:

>Fasa awal 'bandar kemanusiaan' itu dijangka menempatkan kira-kira 600,000 penduduk Palestin, terutamanya golongan yang berlindung di kawasan al-Mawasi yang juga 'zon selamat' ciptaan Israel.

>Katz memaklumkan fasa seterusnya bakal menyaksikan seluruh populasi, kira-kira 2.2 juta penduduk Palestin akan 'dikurung' di bandar itu yang kononnya akan dikendalikan badan antarabangsa.

>Penduduk Palestin perlu menjalani proses saringan sebelum ditempatkan di 'bandar kemanusiaan' itu atas alasan untuk menapis anggota Hamas.

>Skim itu direka kononnya untuk menggalakkan penduduk Palestin berpindah secara sukarela. Mereka yang sudah berada di zon itu dilarang kembali ke bahagian lain di Gaza.