JPN, PPD, pentadbir sekolah diarah pastikan beban guru dikurangkan - Fadhlina

Iklan
Fadhlina bersama pegawai kanan kementerian dalam Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan pada Isnin lalu.

PUTRAJAYA – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pentadbir sekolah diarahkan untuk memastikan pelaksanaan Tujuh Langkah Mengurangkan Beban Guru yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilaksanakan secara berkesan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad turut dipertanggungjawabkan untuk memastikan inisiatif mengurangkan beban tugas guru berjalan seperti yang dirancang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, laporan berkala perlu dibentangkan kepada beliau dan pengurusan tertinggi kementerian setiap tiga bulan.

“Saya tuntut komitmen seluruh kepimpinan pendidikan di setiap peringkat untuk memastikan isu beban tugas guru ditangani bersama,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis.

Iklan

Jelas beliau, antara yang diberi perhatian dalam Tujuh Langkah Mengurangkan Beban Guru adalah pemansuhan penganjuran acara yang tidak berimpak tinggi, pengurangan kekerapan semakan elemen pengurusan sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM), waktu kunci masuk rekod kehadiran murid yang fleksibel serta pelantikan pengawas peperiksaan awam dalam kalangan individu selain guru.

Selain itu, penganjuran sambutan Hari Guru dihadkan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja, ringkasan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) ditetapkan merangkumi elemen objektif, pengajaran dan refleksi, serta memperkukuh autonomi guru dalam perancangan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran bilik darjah (PBD).

Iklan

“Saya mengambil perhatian penuh terhadap isu beban tugas guru seperti yang disuarakan oleh banyak pihak. Isu berpanjangan ini perlu penyelesaian yang tuntas dan menyeluruh.

“Sedari awal khidmat saya di KPM, isu ini sememangnya menjadi perhatian,” katanya.

“Inisiatif berkenaan telah menunjukkan beberapa kejayaan signifikan termasuk pelantikan seramai lebih 11,000 pengawas peperiksaan awam dalam kalangan orang awam, sekali gus mengurangkan beban tugas guru. Namun, ia perlu terus diperkasakan bagi memastikan impaknya menyeluruh dan dirasai semua guru,” ujar Fadhlina.