Kedah pertimbang syor tanam buluh, bina tebing tanah di Sungai Korok

Iklan
Keadaan jalan raya di Sungai Korok, Jitra. Foto Bernama

SUNGAI PETANI - Kerajaan Kedah akan mempertimbangkan beberapa cadangan bagi meningkatkan aspek keselamatan di laluan berhampiran Sungai Korok susulan tragedi yang meragut enam nyawa sekeluarga baru-baru ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beberapa cadangan akan dikemukakan untuk tindakan segera mengikut keupayaan kewangan dan keperluan mendesak termasuk membina penghadang di lokasi berisiko.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara cadangan yang akan dikemukakan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) ialah memasang pagar penghadang, menanam buluh spesies tertentu serta membina tebing tanah.

“Perkara ini ada dibincangkan dalam mesyuarat Exco pada Rabu.

Iklan

"Ramai yang cadangkan supaya guard rail atau pagar penghadang diletakkan di lokasi tertentu sepanjang laluan lurus 15 kilometer berhampiran Sungai Korok itu.

“Namun, kos untuk memasang pagar penghadang ini agak tinggi, sekitar RM400,000 untuk satu kilometer, untuk 15 kilometer boleh cecah RM6 juta,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kunci Mutiara Bandar Puteri Jaya Fasa 7, di sini, pada Khamis.

Iklan

Muhamad Sanusi berkata, alternatif lain termasuk cadangan menanam buluh, contohnya buluh madu yang tumbuh lurus dan cantik di laluan tersebut.

Muhammad Sanusi (enam dari kanan) selepas menyerahkan kunci kepada pemilik Mutiara Bandar Puteri Jaya Fasa 7, Sungai Petani.

“Kos untuk tanam buluh ini lebih murah. Selain menjadi lanskap, ia juga boleh menjadi penahan jika berlaku kecemasan,” katanya.

Menurut beliau, penanaman buluh di beberapa kawasan berisiko boleh dilakukan segera sementara menunggu kelulusan peruntukan pemasangan pagar penghadang dan akan dibawa untuk pertimbangan teknikal oleh JKR.

“Kalau nak pasang pagar penghadang pun, kalau tiada duit lagi, akan ambil masa yang lama.

"Jadi, kita boleh tanam buluh dahulu di kawasan yang masih ada ruang di tebing sungai. Kalau kawasan sempit, kita kena tengok balik,” katanya.

Selain itu, Muhammad Sanusi jelaskan, terdapat juga cadangan untuk membina tebing tanah di tepi jalan bagi menghalang kenderaan daripada terjunam ke dalam sungai sekiranya berlaku kemalangan.

“Jalan itu lurus, tidak dilalui dengan kelajuan tinggi, sekitar 50 kilometer sejam.

"Kalau buat tembok atau tebing tanah, kenderaan tidak sempat junam ke sungai, akan terhenti di tebing tersebut,” katanya.

Menurutnya, kesemua cadangan berkenaan akan dikemukakan namun keputusan muktamad akan diketahui selepas Jabatan Teknikal JKR membuat penilaian dan pertimbangan.

Tambah Muhammad Sanusi, Timbalan Perdana Menteri juga telah berjanji untuk membantu menyediakan peruntukan bagi pemasangan pagar penghadang dan lampu jalan di kawasan berkenaan.

“Lampu jalan akan menjadikan laluan lebih cerah untuk keselamatan pengguna, tambahan pula laluan tersebut asalnya adalah jalan ban yang telah dinaik taraf menjadi jalan negeri,” katanya.

Beliau tegasakan, kerajaan negeri akan mengambil tindakan segera bagi memastikan aspek keselamatan orang ramai sentiasa diutamakan di kawasan berkenaan bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa akan datang.

Sebelum ini, media melaporkan pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, bersama empat anak mereka iaitu Putra Rayyan, 9; Hawa Adriana, 8; Annayla Humaira, 7; dan bayi lelaki, Tuah Haydar, 6 bulan maut selepas kereta dinaiki terbabas ke dalam Sungai Korok, awal pagi Sabtu.

Kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad pada Isnin lalu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor Karang, Jerlun.