Institusi kehakiman dalam peralihan, bukan satu krisis

Iklan
Syed Ahmad Idid

KIRA-kira 30 tahun lalu negara digemparkan dengan kes Datuk Syed Ahmad Idid Syed Abdullah Idid yang dipaksa melepaskan jawatan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi kerana menulis sepucuk surat mendedahkan dakwaan salah laku melibatkan badan kehakiman di Malaysia.

Kini, selepas lebih tiga dekad berlalu, Syed Ahmad Idil akhirnya memilih untuk membuka mulut mengenai kisah yang menjadi sejarah hitam dalam hidupnya menerusi program Interviu Sinar Harian.

Iklan
Iklan

Selain kisah yang berlaku pada 1996 itu, Syed Ahmad Idil turut menyentuh pelbagai isu lain termasuk kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara yang ditinggalkan Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam program kira-kira sejam yang dikendalikan Haizir Othman di Karangkraf baru-baru ini.

Pada pandangan Datuk, adakah sesuatu yang normal apabila jawatan Ketua Hakim Negara terpaksa dikosongkan dalam tempoh masa tertentu sebelum diisi oleh individu yang betul?

Iklan

Seingat saya, keadaan sebegini (jawatan Ketua Hakim Negara) dikosongkan dalam tempoh tertentu sudah terjadi. Jadi, terpulang kepada pemangku, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim kalau beliau dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada masa akan datang.

Sesetengah pihak melihat keadaan sekarang ini sebagai krisis dalam badan kehakiman, walhal tidaklah begitu kerana lantikan ini boleh dibuat dari satu masa ke satu masa tetapi dengan keadaan yang dianggap krisis ini banyak pihak cuba hendak campur tangan dan bersuara sebegini dan sebegitu.

Iklan

Keadaan ini saya harap dalam tempoh empat hingga lima bulan ini akan baik. Terbaik lagi apabila seorang (Ketua Hakim Negara) yang baharu akan dilantik tetapi siapa orang itu saya tidak tahu.

Bagi mengisi kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara ini, adakah bergantung kepada siapa yang mengisi jawatan tersebut atau lebih penting adalah proses untuk membolehkan sesiapa sahaja mengisinya mengikut prosedur operasi standard (SOP)?

Saya ingat dalam keadaan semasa, kedua-dua itu berlaku. Mungkin kerajaan tidak dapat pastikan siapa yang boleh dilantik dan juga proses seperti mana yang diberitahu kepada ramai bahawa mestilah ada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), lepas itu Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong. Kemudian, barulah turun ke bawah balik siapa yang akan dilantik.

Kalau kita lihat, langkah demi langkah yang perlu diambil bermula JAC bermesyuarat terlebih dahulu sebelum mengemukakan cadangan kepada Perdana Menteri dan seterusnya Perdana Menteri akan menasihati Yang di-Pertuan Agong. Itu aturan yang perlu dilalui bagi pelantikan Ketua Hakim Negara. Pada pandangan Datuk, adakah proses itu telah berlaku? Apakah sebenarnya yang menghalang jawatan tersebut diisi dengan segera pada ketika ini?

Saya percaya keadaan ini telah berlaku dan mungkin ada kelemahan sedikit daripada kerajaan dalam aspek untuk mencari orang yang sesuai tetapi saya ingat kalau bagi masa (mencukupi) untuk kerajaan mencari seseorang yang sesuai... melibatkan dua tiga status mencari bermula daripada jawatankuasa JAC, daripada JAC diberikan kepada Perdana Menteri, Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong dan selepas itu barulah dilantik orang yang sesuai.

Jadi, keadaan ini terpulang juga kepada JAC berapa nama orang (calon) yang mereka cadang. Itu yang boleh jadi (kemungkinan) terletak di sana (dalam proses menentukan calon sesuai).

Adakah Datuk melihat Tan Sri Hasnah terpaksa menanggung beban yang berat kerana terpaksa memangku tugas Ketua Hakim Negara dan dalam masa sama juga menjalankan tugas Hakim Besar Malaya? Adakah ia boleh mempengaruhi institusi kehakiman itu sendiri kerana beban berat seperti didakwa?

Sepatutnya itu tidak terjadi kerana (tugas) Ketua Hakim Negara, tanggungjawab beliau ialah administrative (pentadbiran). Jadi bermaksud tidak memberi beban sekiranya seseorang itu kompeten, boleh jalan (tugas).

Keputusan kerajaan tidak melanjutkan tempoh perkhidmatan Tengku Maimun membuatkan ramai yang bersuara dan tidak berpuas hati. Adakah perkara ini berlaku kerana beliau popular dalam penghakiman kes berprofil tinggi termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak? Adakah Datuk melihat ia merupakan sekadar pandangan atau permintaan yang keterlaluan bagi pihak tersebut untuk meminta agar tempoh perkhidmatan Tengku Maimun itu dilanjutkan melepasi umur bersara wajib yang beliau lalui?

Menjadi lumrah manusia apabila seseorang itu telah menjalankan tugas beliau dengan luar biasa, jadi kita sayang kepada dia tapi kalau kita ingat juga, seseorang yang diberi tugas itu menjalankan tugas dengan baik, maka itu adalah satu faktor yang patut difikirkan apabila hendak melantik atau melanjutkan perkhidmatannya pada masa akan datang.

Pihak yang memohon dan meminta lanjutan Tengku Maimun mungkin mereka sudah lama dengan beliau dan telah menerima keputusan itu sebagai keputusan yang baik.

Dalam Malaysia ini kalau hendak kira, ada juga hakim terdahulu yang buat keputusan yang disukai ramai tetapi oleh kerana mereka mungkin tidak masuk dalam media kerana dahulu tidak ada media sosial untuk tunjuk apa yang dibuat. Saya mesti tegaskan di sini Tengku Maimun telah beri keputusan terbaik dan saya faham kenapa ramai yang sayang kepada beliau.

Haizir (kiri) bersama Syed Ahmad Idid ketika program Interviu Sinar Harian. - FOTO: SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR

Jika kita lihat sebelum Tengku Maimun tamat tempoh sebagai Ketua Hakim Negara, beliau ada mengeluarkan keputusan bahawa larangan berhimpun secara aman itu tidak melanggar Perlembagaan. Adakah itu sebenarnya pandangan yang dikeluarkan beliau sebagai hakim Mahkamah Persekutuan yang mempengerusikan mahkamah tersebut atau sebagai Ketua Hakim Negara yang mentadbir sahaja?

Saya kira keputusan itu dibuat dengan persetujuan hakim-hakim lain, bukan Tengku Maimun sendiri. Jadi, kita kena pandang daripada hujah-hujah diberi oleh constitutions (Perlembagaan) dan hujah diberi oleh lawyer (peguam) bagi seorang yang dituduh.

Saya difahamkan Datuk juga mempunyai pengalaman secara peribadi berkhidmat dengan Tengku Maimun pada satu ketika dulu, boleh Datuk kongsikan sedikit?

Saya jumpa Tengku Maimun sebelum beliau jadi Ketua Hakim Negara. Masa beliau jadi deputy registrar (timbalan pendaftar), saya masih di Mahkamah Tinggi. Dari situ, saya sudah lihat bakatnya yang tinggi, kejujuran yang tiada lawan, dengan kerja keras serta kerja tulus ikhlas dan terbaik sekali.

Beliau buat kajian terlebih dahulu sebelum keputusan diambil di mahkamah, jadi saya lihat orang begitu adalah patut dihargai dalam kehakiman.

Situasi yang berlaku hari ini ialah sembilan orang hakim yang akan tamat tempoh atau bersara. Adakah kita perlu panik ketika ini jika kekosongan tidak diisi dengan segera?

Saya ingat sekarang ini ada satu jawatankuasa kerajaan yang melihat kepada calon baharu. Calon baharu jika dimasukkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, boleh ambil tempat di masa sekarang ini. Hakim Mahkamah Tinggi dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan. Hakim Mahkamah Rayuan naik lagi sebagai Hakim Persekutuan.

Jadi, dari situ tidak lama lagi insya-ALLAH kita akan dapat hakim-hakim baharu dan hakim-hakim lama dinaikkan pangkat.