Usaha tersebut adalah langkah memperkasa golongan wanita, khususnya ibu tunggal dengan menjadikan lokasi ikonik di tengah bandar Temerloh itu sebagai pusat ekonomi baharu dan tarikan pelancongan tempatan.
Pengerusi kelab, Mastura Abdul Malik berkata, transformasi tersebut tidak hanya melibatkan penyusunan semula lot niaga, malah pembinaan ekosistem keusahawanan yang tersusun dan kondusif khusus untuk wanita luar bandar.
“Kita sediakan tapak niaga, bimbingan pensijilan halal, pembungkusan dan peluang promosi. Harapan kita nak jadikan Serambi Semantan sebagai versi desa Pasar Siti Khadijah.
“Kita yakin wanita Temerloh juga mampu menguasai ruang niaga apabila diberi peluang dan sokongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Karnival Mini Usahawan yang berlangsung di bazar berkenaan baru-baru ini.
Jelasnya, Serambi Semantan diwujudkan bagi membantu wanita desa seperti ibu tunggal dan golongan B40 mendapatkan akses kepada pasaran, latihan dan bimbingan niaga.
“Setakat ini, lebih 50 produk tempatan telah dimasukkan dalam direktori rasmi usahawan desa untuk dipasarkan kepada pelancong dan agensi kerajaan,” tambah Mastura. Kelab tersebut ditubuhkan pada Jun tahun lalu.
Menurutnya, usaha yang dijalankan itu turut mendapat sokongan daripada Majlis Perbandaran Temerloh (MPT).
Sementara itu, peniaga kuih tradisional, Siti Maisarah Fauzi, 42, dari Kuala Krau, berkata, dia mengalami banyak perubahan positif selepas menyertai kelab tersebut pada tahun ini.
“Waktu saya mula berniaga di sini, kebetulan hampir Hari Raya Aidiladha. Saya tak sangka dalam satu hari jualan saya boleh cecah RM2,000. Saya catat dan tengok semula, rasa syukur sangat.
“Sebelum ini saya banyak bergantung kepada jualan secara COD yang melibatkan kos minyak dan masa. Dulu pelanggan datang ke rumah saya di Kuala Krau, sekarang dengan adanya tapak kekal di Serambi Semantan, pelanggan dari Temerloh dan kawasan sekitar boleh terus datang ke sini,” ujarnya.
Bagi peniaga kek, Nusafia Latif, 39, dari Taman Temerloh Jaya, dia gembira kerana penyertaannya membuka peluang lebih luas untuk berkembang.
“Sekarang pelanggan boleh lihat dan rasa sendiri sebelum beli. Alhamdulillah, jualan saya meningkat berbanding sebelum ini yang hanya bergantung kepada tempahan secara dalam talian,” katanya.