AGC tidak pertikai Titah Adendum, hanya pertikai cara dokumen dikemukakan

Iklan
Hujahan berhubung Titah Adendum membabitkan Najib selesai di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Rabu. - Foto: Rosli Talib

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Jabatan Peguam Negara (AGC) memberitahu Mahkamah Persekutuan di sini pada Rabu bahawa mereka tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum yang membolehkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan rumah.

Sebaliknya Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata, AGC mempersoalkan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Iklan
Iklan

"Kami berpendirian, titah itu wujud namun prosedur untuk mengemukakannya melalui bukti tambahan perlu dipatuhi, maka kami bersandarkan kepada hujahan bertulis yang telah difailkan sebelum ini dan menyerahkan kepada mahkamah untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, 72, berkata, AGC tidak boleh menyatakan titah berkenaan sebagai spekulatif ketika di peringkat kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman.

Iklan

“Kami ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, ia sesungguhnya tragedi terhadap kami kerana tanggungjawab untuk bersikap jujur, terbuka dan telus, bukan di pihak kami kerana kami sentiasa berterus terang selama ini.

"Sudah menjadi tanggungjawab Peguam Negara untuk mengesahkan atau menafikan kewujudan Titah Adendum itu pada peringkat permohonan mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman, jika mereka membantah kewujudannya," katanya

Iklan

Beliau berkata, persoalan sama ada Titah Adendum tidak diperoleh dengan usaha wajar yang munasabah ketika prosiding di Mahkamah Tinggi tidak relevan kerana pembuat afidavit bagi pihak responden jelas mengesahkan bahawa mereka tidak mempunyai keupayaan untuk mendapatkan salinan titah terbabit kerana kerahsiaannya pada masa itu.

Sebelum itu, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim meminta kepastian mengenai pendirian AGC kerana agensi itu tidak mempertikai kewujudan titah tersebut.

Beliau yang bersidang bersama Hakim-hakim, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah berkata, sekiranya mahkamah mengetahui berpendirian AGC, panel tidak perlu menjawab persoalan undang-undang yang dikemukakan untuk memasukkan titah itu sebagai bukti tambahan dalam pendengaran semakan kehakiman.

Selepas dimaklumkan mengenai pendirian AGC dalam prosiding rayuan Peguam Negara untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Najib memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi, beliau memaklumkan tarikh bagi keputusan permohonan itu akan dimaklumkan pada tarikh lain.

Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu.

Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri; Komisioner Jeneral Penjara; Peguam Negara; Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpurm, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi); Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.

Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Pada 3 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, sebelum beliau merayu keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong dakwaan Najib, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah khabar angin serta tidak boleh diterima sebagai bukti.