SHAH ALAM – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Institut Setiausaha dan Pentadbir Bertauliah Malaysia (MAICSA) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkasakan amalan tadbir urus korporat dalam sektor korporat.
MoU tersebut juga bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dalam meningkatkan kefahaman serta pematuhan terhadap Akta Persaingan 2010.
Pengerusi MyCC, Tan Sri Idrus Harun berkata, kerjasama strategik antara kedua-dua pihak merupakan langkah penting ke arah memperkukuh budaya pematuhan dan tadbir urus korporat yang berintegriti.
“Melalui sinergi ini, kita menyemai prinsip persaingan sihat dalam setiap aspek pengurusan korporat demi membina ekosistem perniagaan yang mampan dan berdaya saing di Malaysia,” katanya pada Rabu.
Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Bangunan MAICSA, Kuala Lumpur itu ditandatangani oleh Idrus dan Presiden MAICSA, Datuk Akbar Moidunny.
Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) bagi kedua-dua organisasi, Datuk Iskandar Ismail (MyCC) dan Justin J Anthony (MAICSA), turut hadir sebagai saksi majlis tersebut.
Sementara itu, menurut Akbar, sebagai badan profesional bagi para pengamal tadbir urus, pihaknya percaya bahawa tadbir urus korporat yang kukuh harus seiring dengan pematuhan terhadap undang-undang persaingan.
“Kerjasama strategik dengan MyCC ini adalah tepat pada masanya kerana dapat memperkukuh komitmen MAICSA dalam mempromosikan kecemerlangan tadbir urus dan penghargaan yang lebih mendalam terhadap pematuhan undang-undang persaingan.
“Ia boleh dijadikan sebagai asas kepada kebertanggungjawaban korporat yang beretika,” ujarnya.