Bapa mengaku tidak bersalah laku amang seksual terhadap dua anak perempuannya

Iklan
Seorang bapa mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak perempuannya di Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu. Gambar hiasan

SEREMBAN – Seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak perempuannya antara 2022 hingga 2025.

Tertuduh berusia 45 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan yang ketika kejadian masing-masing berusia 12 dan 13 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada hujung 2022 dan pertengahan 2023, kira-kira jam 1 hingga 2 pagi di rumah sewanya di Flat Sri Mawar, Senawang, di sini.

Iklan

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di lokasi sama pada 2025, kira-kira jam 1 pagi.

Berikutan itu, tertuduh dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Iklan

Jika sabit kesalahan, Seksyen 14(a) dan 14(b) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, manakala Seksyen 16 pula memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan maksimum dua sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi memohon mahkamah menetapkan tarikh untuk mendapatkan laporan perubatan rasmi serta lantikan peguam, selain menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Beliau turut memohon syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh, termasuk tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai, melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan, serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Menurut Nurul Balkis, tertuduh merupakan bapa kandung kepada kedua-dua mangsa yang kini berada dalam jagaan ibu kandung mereka di Johor.

"Ibu mangsa telah berkahwin lain dan kini menetap di Johor. Sebelum kejadian, mangsa berada dalam jagaan tertuduh," katanya.

Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dan telah diisytiharkan muflis.

“Saya juga mempunyai tunggakan sewa rumah dan bil utiliti selama dua bulan,” katanya yang memaklumkan telah berpisah dengan bekas isterinya sejak tahun 2018.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM39,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Ogos depan bagi tujuan penyerahan dokumen dan lantikan peguam.