JOHOR BAHRU – Zon Merah Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Ismail (HSI), yang sepatutnya hanya mampu menampung enam pesakit pada satu masa, kini terpaksa memuatkan sehingga 12 pesakit serentak menggambarkan tekanan luar biasa yang dihadapi hospital tersebut setiap hari.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, situasi itu dikesan menerusi lawatan mengejut yang dilakukannya pada malam Selasa.
"Malam ini merupakan malam pertama pelaksanaan penugasan 'doktor Locum' di Jabatan Kecemasan hasil inisiatif dan sokongan kerajaan negeri Johor.
"Sebagaimana dalam lawatan mengejut sebentar tadi, Zon Merah yang sepatutnya hanya mempunyai enam katil telah menempatkan seramai 12 pesakit, sesuatu yang sangat mencabar bagi para petugas kesihatan," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Tian Soon menjelaskan bahawa HSI yang terletak berhampiran kawasan perumahan padat dan perindustrian, secara purata menerima lebih 300 pesakit kecemasan setiap hari.
"Akibat kekangan sumber manusia, keutamaan terpaksa diberikan kepada kes Zon Merah (kecemasan) dan Zon Kuning (serius), manakala pesakit Zon Hijau (bukan kecemasan) terpaksa menunggu lebih lama untuk dirawat," katanya.
Sehubungan itu, kerajaan negeri mencadangkan agar lebih ramai doktor diambil secara locum bagi membantu mempercepatkan rawatan terutamanya bagi kes bukan kecemasan.
“Setakat ini, hanya seorang doktor locum dapat ditugaskan setiap malam dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam. Kami amat mengalu-alukan lebih ramai doktor yang berpengalaman dalam bidang kecemasan untuk menyertai program ini.
"Berdasarkan pemerhatian semasa, kehadiran doktor on-call ini berjaya mempercepatkan proses panggilan pesakit di Zon Hijau.
"Langkah sama turut dirancang untuk dilaksanakan di Hospital Sultanah Aminah (HSA),” katanya.