KUALA SELANGOR – Suasana tenang di sebuah institut memandu di Jalan Bukit Rotan di sini bertukar kecoh apabila seekor landak tersesat memasuki kawasan tersebut pada Selasa.
Kejadian kira-kira jam 4.31 petang itu berlaku ketika orang awam baru sahaja selesai mengikuti kelas memandu kenderaan.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Selangor, Kapten (PA) Mohamad Saufee Akmal Bolah berkata, sepasukan anggota telah digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada kakitangan institut berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut menemukan seekor landak di kawasan parkir motosikal premis tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Beliau memaklumkan bahawa semasa pemeriksaan dijalankan, haiwan eksotik itu didapati dalam keadaan ketakutan dan operasi menyelamat terpaksa dilakukan secara berhati-hati oleh anggota APM.
“Landak ini kemudian berjaya ditangkap dalam tempoh kira-kira 15 minit dengan menggunakan peralatan khas,” katanya.
Menurut Mohamad Saufee, haiwan tersebut telah dibawa keluar dengan selamat dan dilepaskan semula ke habitat asalnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kehadiran haiwan liar atau eksotik kepada pihak berkuasa bagi tindakan lanjut.