JITRA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa menziarahi anak sulung kepada pasangan suami isteri yang terkorban bersama empat anak mereka di Jerlun pada Selasa.
Beliau dalam masa sama sempat menitipkan pesanan kepada Putri Qisya Nur Izzat, 12, agar sentiasa mendoakan kedua ibu bapa selain sedekah Al-Fatihah dan bacaan Yasin.
Ahmad Zahid turut memuat naik hantaran di media sosial dengan tulisan yang menggambarkan perasaan sayu dan sedih dialami seluruh keluarga itu.
"Sayu hati saya tatkala melangkah masuk ke perkarangan rumah keluarga Allahyarham Mohd Azim Ezzat Ishak dan Allahyarhamah Nurul Hidayah Khalijah Razman Effendy di Jerlun, Kedah tengah hari tadi.
"Setibanya saya di kediaman mereka, saya dapat melihat wajah-wajah yang sedang bergelut menahan duka, memeluk rindu yang tidak akan terbalas.
"Lebih memilukan, hanya seorang anak perempuan berusia 12 tahun yang kini tinggal bersama neneknya. Dalam usia semuda itu, dia telah kehilangan enam insan tersayang serentak.
"Saya sempat bertemu dengan anak kecil ini dan sebagai seorang ayah, saya sendiri tidak dapat membayangkan betapa rapuhnya jiwa seorang anak menanggung kehilangan yang sebesar ini," katanya dalam hantaran berkenaan.
Beliau dalam masa sama berjanji akan berusaha memberikan segala bentuk bantuan yang sewajarnya dan mendoakan agar seluruh keluarga diberikan ketabahan dan kekuatan oleh ALLAH SWT untuk menghadapi ujian berat tersebut.
"Sama-sama kita sedekahkan doa dan Al-Fatihah agar roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh," tulisnya.
Sebelum ini media melaporkan kehilangan enam sekeluarga ketika dalam perjalanan pulang dari rumah saudara di Taman Aman, Jitra ke Jerlun pada jam kira-kira 5.30 pagi Sabtu.
Kehilangan itu terjawab apabila kenderaan dinaiki kesemua mereka dikesan dalam keadaan terapung di Sungai Korok pada Isnin di mana kesemua mangsa disahkan telah meninggal dunia.
Anak sulung mangsa, Putri Qisya tidak turut serta kerana berada di rumah neneknya di Jerlun ketika kejadian.