NWS belum iktiraf Asia Tenggara sebagai zon bebas senjata nuklear - Mohamad

Iklan
Mohamad (tengah) menzahirkan kebimbangan terhadap kegagalan berkenaan menerusi ucapan pembukaan ketika mempengerusikan Mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara.

KUALA LUMPUR - Negara-negara pemilik senjata nuklear (NWS) masih belum mengiktiraf Asia Tenggara sebagai zon bebas senjata berkenaan secara rasmi, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau menzahirkan kebimbangan terhadap kegagalan berkenaan menerusi ucapan pembukaan ketika mempengerusikan Mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

Iklan
Iklan

Tegas beliau, Asia Tenggara menjadi satu-satunya zon bebas senjata nuklear yang belum diiktiraf secara rasmi oleh NWS melalui penandatanganan dan pengesahan Protokol Perjanjian.

"Sehubungan itu, kita mengalu-alukan kesediaan NWS untuk berinteraksi dengan ASEAN ke arah menandatangani dan mengesahkan Protokol Perjanjian berkenaan.

Iklan

"Kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa perjanjian terbabit bukan sekadar dokumen perundangan, tetapi satu komitmen yang hidup dan dinamik, serta menyumbang kepada usaha perlucutan senjata di peringkat serantau dan global," katanya pada Selasa.

SEANWFZ diadakan bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula Selasa hingga Jumaat.

Iklan

Dalam pada itu, Mohamad mengingatkan agar semua negara anggota ASEAN perlu kekal bersatu dalam usaha merealisasikan Asia Tenggara yang bebas daripada senjata nuklear.

Ini kerana tegas beliau, ancaman dibawa oleh senjata nuklear terhadap penduduk dunia masih wujud.

Perjanjian SEANWFZ yang juga dikenali sebagai Perjanjian Bangkok ditandatangani pada Disember 1995 di Bangkok oleh 10 negara anggota ASEAN dan mula berkuat kuasa pada Mac 1997.

Di bawah protokol itu, setiap NWS perlu menghormati Perjanjian SEANWFZ dan mewajibkan anggotanya untuk tidak mengembangkan, mengeluarkan atau memperoleh, memiliki atau mengawal senjata nuklear dalam zon berkenaan.