ALOR SETAR – Operasi mengeluarkan enam sekeluarga yang terkorban selepas kereta dinaiki terjunam ke Sungai Korok pada Isnin disifatkan situasi paling tragis yang pernah dilalui anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Mohammad Hasri Haslan, 31, berkata, hati kecilnya tersentuh sebaik melihat satu persatu jasad, termasuk bayi berusia enam bulan dikeluarkan dari badan kereta.
"Sepanjang bertugas dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, inilah kes yang paling sayu dan tragis saya alami.
"Paling sedih dan tersentuh hati ketika saya dan anggota lain mengangkat jasad bayi enam bulan dan tiga kanak-kanak yang masih kecil," ujarnya.
Sebagai seorang bapa, perasaan sedih tidak dapat dibendung, apatah lagi apabila memikirkan bahawa yang terkorban itu adalah bayi dan anak-anak kecil.
Katanya, jasad pertama ialah kanak-kanak perempuan, manakala yang kedua pula bayi lelaki berusia enam bulan dan yang ketiga ialah kanak-kanak lelaki.
"Jasad keempat pun kanak-kanak perempuan, manakala yang kelima pula ibu mereka, dan mangsa yang terakhir ialah pemandu kereta itu iaitu bapa kanak-kanak terbabit.
"Saya pun ada anak. Apabila melihat keadaan itu saya rasa sayu mengenangkan nasib mereka, terutama yang bayi, memang sedih," katanya.
Mohammad Hasri menjelaskan bahawa biarpun sebak dengan situasi tersebut, mereka tetap berhati-hati melaksanakan tugas demi tanggungjawab dan amanah yang dipikul, sehingga kesemua mangsa berjaya dikeluarkan.
Terdahulu media melaporkan, jasad enam sekeluarga yang hilang sejak awal pagi Sabtu lalu selepas pulang bermalam di rumah ahli keluarga di Taman Seri Aman, ditemui dalam kereta Proton Saga Iswara di Sungai Korok.
Jenazah Mohamad Azim Izat Ishak, 32, isterinya, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi 31, dan empat anak mereka, Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7 dan bayi lelaki, Tuah Haydar, 6 bulan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor, Karang di Jerlun kira-kira jam 11.50 malam pada Isnin.