GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang bercadang untuk menangguhkan pelaksanaan kenaikan tarif air yang dicadangkan selama sekurang-kurangnya enam bulan bagi mengurangkan beban pengguna.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, cadangan semakan tarif itu telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan ia masih menunggu kelulusan Jemaah Menteri sebelum diwartakan untuk pelaksanaan di beberapa negeri, termasuk Pulau Pinang.
“Kita tidak bercadang untuk melaksanakannya pada awal tahun depan. Kita berharap ia dapat ditangguhkan sehingga pertengahan tahun depan.
“Bagaimanapun, penangguhan ini dijangka menyebabkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menanggung kos kira-kira RM40 juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) PBAPP bernilai RM5 bilion (Sukuk Wakalah) di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, terbitan sukuk berkenaan akan memperkukuhkan keupayaan PBAPP mendapatkan modal jangka panjang untuk pelaburan dalam pembangunan infrastruktur air menerusi instrumen kewangan yang patuh Syariah dan berteraskan kelestarian.
“Platform pembiayaan ini akan membolehkan PBAPP melaksanakan projek-projek air berskala besar dan kritikal sekali gus memperkukuh komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan mampan,” katanya.
Tambah beliau, Program Sukuk itu telah menerima penarafan kredit tertinggi iaitu AAA/Stable daripada RAM Rating Services Bhd, manakala Kerangka Kewangan Mampan PBAPP pula dianugerahkan Penarafan Emas oleh RAV Sustainability Sdn Bhd.
Program tersebut dilancarkan dengan kerjasama Maybank Investment Bank Berhad dan United Overseas Bank (Malaysia) Berhad yang dilantik sebagai penasihat, penyusun utama dan pengurus utama bersama.
Maybank Investment Bank turut bertindak sebagai Penasihat Penstrukturan Mampan tunggal bagi kerangka kewangan berkenaan.