Pemandu lori didenda RM5,500 pindah lembu tanpa kebenaran

Iklan
ccMohd Jizol (tengah) bersama peguamnya, Muhammad Zaem (kanan) ketika didakwa di Mahkamah Majistret Gerik pada Selasa atas pertuduhan memindahkan 13 ekor lembu tanpa kebenaran, Februari lalu.

GERIK - Seorang pemandu lori didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Gerik pada Selasa selepas mengaku bersalah memindahkan 13 ekor lembu hidup tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Februari lalu.

Orang Kena Saman (OKS), Mohd Jizol Kassim, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan.

Iklan
Iklan

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa telah memindahkan 13 ekor lembu hidup dengan menggunakan lori jenis Hino tanpa kebenaran bertulis yang sah daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa olehnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lebuh Raya Timur-Barat berhampiran Kuala Rui di sini sekitar jam 12.30 tengah malam pada 19 Februari lalu.

Iklan

Mohd Jizol didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Gerik pada Selasa selepas disabitkan kesalahan memindahkan 13 ekor lembu hidup tanpa kebenaran yang sah daripada JPV, Februari lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Perenggan 3(a) Perintah Menteri Besar bagi Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut bagi Negeri Perak 2008 yang dibuat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 36 (7) Akta Binatang (Pindaan) 2013.

Iklan

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM15,000.

Terdahulu, peguam Muhammad Zaem Ab Aziz yang mewakili OKS memohon denda yang rendah dikenakan terhadap anak guamnya apabila pemeriksaan mendapati kesemua lembu yang dirampas tidak dihidapi sebarang penyakit berjangkit.

Selain itu, beliau memohon kenderaan dikembalikan kepada pemilik dan wang hasil jualan dikembalikan sepenuhnya atau separuh.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar negeri, Roziman Awang Tahrin memaklumkan kes itu bukan kesalahan remeh berikutan ia penting bagi mengawal penularan penyakit dan keselamatan industri ternakan serta ekonomi negara.

OKS juga didapati cuai dengan mengabaikan undang-undang apabila gagal mengemukakan permit malah lori yang dipandunya dibungkus bagi menutup pandangan pihak berkuasa.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, Muhammad Firdaus kemudian menetapkan denda RM5,500 dan dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda itu

Mahkamah turut memerintahkan lori tersebut dikembalikan kepada pemilik asal dan separuh hasil jualan ternakan sebanyak RM13,000 dikembalikan kepada OKS manakala selebihnya dilucuthak kepada kerajaan.