SURUHANJAYA Sekuriti Malaysia (SC) dan Universiti Durham memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama dalam pembinaan kapasiti, perkongsian pengetahuan dan inisiatif bersama dalam bidang kewangan Islam dan pasaran modal Islam (ICM).
Kursus Musim Panas Pasaran Modal Islam (ICM Summer School) yang julung kali diadakan merupakan salah satu inisiatif di bawah MoU ini dan dianjurkan bersama dengan Pusat Ekonomi dan Kewangan Islam Durham, Pengajian Perniagaan Universiti Durham.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, ICM Summer School penting bagi memupuk pemimpin berwawasan untuk masa depan kewangan Islam.
"Ia didorong komitmen bersama untuk memajukan kapasiti dan kepimpinan pemikiran dalam industri daripada pengamal kepada sarjana berpengalaman.
"Dengan menerapkan prinsip Maqasid al-Shariah, kami menyasarkan untuk membina pasaran modal yang beretika, mampan dan inovatif.
“Kerjasama dengan Universiti Durham ini melengkapkan golongan profesional ke arah mengukuhkan kepimpinan global Malaysia dalam kewangan Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Mohammad Faiz, Program ICM Summer School melengkapkan ahli profesional dengan kemahiran kepimpinan strategik, pengetahuan teknikal, dan pemahaman mendalam tentang amalan Maqasid al-Shariah dalam pasaran modal Islam.
“Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kepimpinan pemikiran global dalam inovasi kewangan Islam dan pasaran modal Islam.
“Universiti Durham merupakan sebuah universiti terkemuka di UK dan diiktiraf di peringkat global dalam bidang undang-undang, kewangan dan ekonomi.
"Penglibatan mereka menyumbang kepada keteguhan akademik dan perspektif antarabangsa bagi program ini,” katanya.
Menurut Mohammad Faiz, SC menyasarkan Maqasid al-Shariah menjadi faktor pembeza strategik, memacu inovasi dan kerjasama dalam kalangan badan kawal selia dan pemain industri Islam di seluruh dunia.
Pada masa sama, beliau turut menggariskan bahawa inisiatif tersebut mencerminkan komitmen kuat untuk memajukan nilai-nilai yang digariskan dalam Maqasid al Shariah Islamic Capital Market Guidance yang diperkenalkan oleh SC pada tahun 2023.
Sementara itu, Naib Canselor dan Warden Universiti Durham, Profesor Karen O'Brien berkata, universiti tersebut mempunyai sejarah lama dalam sumbangan kepada penyelidikan, pendidikan dan inovasi dalam Kewangan Islam selama 30 tahun.
“Pusat Ekonomi dan Kewangan Islam Durham mempunyai dua pemenang ISDB atas penyelidikan mereka dalam Kewangan Islam bersama rakan lain yang disegani.
"Sejak tahun 2006, Summer School Kewangan Islam Durham telah melatih lebih 1,500 individu daripada pelbagai latar belakang di seluruh dunia,” katanya.
Ujarnya, kerjasama ini akan terus melatih dan memberi inspirasi kepada pemimpin semasa dan masa depan dalam industri kewangan Islam, menegakkan dan mengukuhkan tradisi pemikiran, amalan dan kepimpinan.
Dalam MoU yang ditandatangani antara Mohammad Faiz dan Pro-Naib Canselor (Global) Universiti Durham, Profesor Claire O'Malley, menggariskan Program Summer School ICM akan berlangsung dari 2025-2027 dengan satu kohort setiap tahun.
Kohort pertama akan bermula pada S3 2025, terdiri daripada 15 peserta dalam program hibrid selama sebulan.
Program eksekutif lanjutan direka untuk profesional dan pemimpin peringkat pertengahan hingga kanan dalam industri kewangan Islam dengan sekurang-kurangnya lima tahun pengalaman kerja yang berkaitan.
Setelah menyelesaikan modul intensif dalam talian, peserta akan menghadiri kelas induk lima hari di Universiti Durham.
Peserta yang menamatkan program ini akan menerima pensijilan bersama daripada SC dan Universiti Durham.
Kurikulum program termasuk bidang utama iaitu Sukuk, ekuiti Islam, produk patuh Syariah, fintech, kemampanan, rangka kerja kawal selia, dan inovasi produk.
Fokus utama ialah penerapan prinsip Maqasid Al-Shariah untuk menggalakkan amalan pasaran modal dan kewangan Islam yang beretika, inklusif dan mampan.