Polis terima laporan video AI papar wajah Sultan Pahang

Iklan
Laporan mengenai penyebaran video palsu dihasilkan menggunakan teknologi AI memaparkan wajah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah di aplikasi TikTok disiarkan Sinar Harian pada Isnin. Foto kecil: Yahaya

PEKAN - Polis menerima satu laporan berhubung penyebaran video palsu yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) memaparkan wajah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dipercayai bagi menipu orang ramai.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, laporan polis itu dibuat pihak Istana Pahang Ahad lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihak polis telah merujuk kes tersebut kepada Suruhanjaya Kumunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Berdasarkan semakan, penyebaran video tersebut menggunakan akaun TikTok disyaki palsu," katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Pahang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan di sini pada Selasa.

Iklan

Yahaya menasihatkan orang ramai menyemak maklumat dengan teliti terutama melibatkan institusi raja.

Istana Pahang sebelum ini memberi amaran berhubung penyebaran video palsu itu yang dikesan disebarkan melalui akaun TikTok ‘datuk_abdul_majid’, ‘datokfahrolaziz07’ dan ‘datuk_abdul_majid7’ kononnya berkaitan tawaran bantuan kepada rakyat.

Iklan

Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi Kesultanan Pahang itu, orang ramai dinasihatkan supaya menghentikan penyebaran video berkenaan dan tidak mempercayai sebarang pautan atau maklumat yang terkandung dalam video tersebut.

Pihak Istana Pahang menegaskan bahawa video tersebut adalah tidak benar dan tidak sahih sebaliknya penyalahgunaan imej Sultan Pahang bagi tujuan penipuan serta memperdaya orang ramai.

Pada masa sama, Istana Pahang turut menegaskan Sultan Pahang tidak mempunyai sebarang akaun media sosial dan semua aktiviti atau titah secara langsung hanya disiarkan melalui platform media sosial Kesultanan Pahang.