TEL AVIV – Seorang bekas anggota tentera Israel, Daniel Adri, 24, ditemui meninggal dunia di kawasan hutan berhampiran bandar Safed, dipercayai akibat tekanan emosi melampau susulan penglibatannya dalam konflik berpanjangan di Gaza serta kehilangan dua rakan seperjuangan.
Menurut laporan portal berita Israel Walla, Adri dilaporkan mengalami gangguan emosi serius dan beberapa kali gagal mendapatkan bantuan psikologi daripada pihak tentera sebelum insiden itu berlaku.
Iklan
Iklan
Ibunya mendedahkan bahawa Adri tidak lagi mampu menanggung beban emosi yang dialaminya sepanjang perkhidmatan.
“Dia sering mengadu dihantui bayangan mayat dan bau kematian yang terus melekat dalam fikirannya,” kata ibunya.
Difahamkan, Adri pernah berkhidmat dalam tempoh panjang sebagai anggota sokongan tempur di Gaza dan Lubnan sebelum diberhentikan lima bulan lalu.
Tentera Israel kini berdepan peningkatan kes gangguan kesihatan mental dalam kalangan anggotanya sejak konflik di Gaza tercetus pada Oktober 2023.
Laporan Haaretz pada Mei lalu menyatakan seramai 42 anggota tentera Israel telah meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan yang dipercayai berkait rapat dengan tekanan psikologi dan gejala sindrom tekanan pasca trauma (PTSD).-Agensi