SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor tidak menetapkan sebarang had terhadap pelaburan asing ke negeri ini selagi mana pelaburan tersebut mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata, pelaburan luar negara seharusnya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi tempatan melalui penyediaan peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi.
“Secara umum, objektif syarikat luar negara untuk melabur di sesuatu negara adalah kerana pelaburan tersebut boleh membantu mengoptimumkan kos operasi atau negara tersebut mempunyai potensi pasaran yang besar bagi penjualan produk mereka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Leong Tuck Chee (PH–Pandamaran) mengenai tindakan kerajaan negeri dalam membantu peniaga tempatan menghadapi saingan pelabur luar, khususnya dari negara China, dan sama ada kerajaan negeri wajar mengehadkan pelaburan luar negara demi nilai pelaburan, ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 di Wisma Dewan Negeri di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Sze Han berkata, kerajaan negeri sentiasa komited memastikan pertumbuhan ekonomi yang seimbang antara menarik pelaburan asing dan memelihara ekosistem perniagaan tempatan.
“Dalam tempoh terdekat, kerajaan negeri akan mengadakan sesi libat urus bersama pelbagai persatuan dan dewan perniagaan di Selangor bagi mengenal pasti cabaran serta isu yang dihadapi oleh usahawan tempatan.
“Selain itu, sesi ini bertujuan mengumpul pandangan berkenaan bentuk kawal selia pelaburan asing yang paling sesuai dan meneliti model kerjasama atau struktur pelaburan optimum seperti usaha sama (joint venture) atau model operasi lain yang sesuai dengan konteks tempatan,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif tersebut bertujuan merangka dasar yang lebih bersasar dan inklusif, yang mampu melindungi kepentingan perniagaan tempatan, menggalakkan pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti serta memastikan pelaburan asing memberi limpahan manfaat tinggi kepada ekonomi negeri.
Sze Han berkata, kerajaan negeri turut memastikan bahawa setiap pelaburan yang diluluskan mengutamakan pelaburan berimpak tinggi, bernilai tinggi dan berpotensi tinggi (high-value, high-growth) yang mampu meningkatkan kualiti pasaran kerja untuk rakyat.
Bagi memperkasakan peniaga tempatan agar kekal kompetitif dalam rantaian bekalan, beberapa program telah dilaksanakan melibatkan inisiatif digitalisasi dan latihan seperti TopECM, Selangor 1000 Digital, Selangor ECX, PLATS serta kursus khas media sosial bagi meningkatkan penguasaan teknologi dan strategi pemasaran digital.
Selain itu, sokongan kewangan turut disediakan melalui geran dan bantuan perniagaan oleh Hijrah Selangor serta agensi berkaitan, manakala akses pasaran dipertingkat menerusi penyertaan dalam pameran antarabangsa seperti Selangor International Business Summit (SIBS) dan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS).
Bagi aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), program Selangor Lab Partnership diwujudkan bagi menyokong peniaga dalam inovasi dan kolaborasi bersama institusi akademik untuk penghasilan produk serta teknologi baharu, khususnya dalam sektor sains hayat.