Terjun tingkat dua, pura-pura pengsan elak dicekup

Iklan
Kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

KUALA LUMPUR – Nekad terjun dari tingkat dua dan berpura-pura pengsan merupakan antara helah digunakan pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengelak daripada ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Imigresen di sekitar Pasar Pudu di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, semua taktik itu gagal memperdaya anggota penguat kuasa yang bertindak pantas menahan mereka dalam operasi yang bermula sekitar jam 10 malam.

Iklan
Iklan

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, seramai 60 individu disyaki PATI ditahan dalam tiga serbuan berasingan sekitar ibu negara.

"Dalam serbuan pertama di sebuah medan selera di Jalan Cheras, seramai 16 PATI ditahan.

Iklan

"Serbuan kedua di kawasan Pudu menyaksikan 30 individu ditahan, manakala baki 14 individu lagi ditahan dalam serbuan terakhir di sebuah rumah kedai di Jalan Raja Laut, berhampiran Chow Kit," katanya pada Selasa.

Menurutnya, seramai 137 individu telah diperiksa sepanjang operasi itu, dan 60 daripada mereka ditahan selepas didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Iklan

"Daripada jumlah tersebut, 31 lelaki dan 29 wanita telah ditahan.

"Kesemua individu yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki warga Bangladesh; 18 lelaki dan seorang wanita warga Myanmar; 17 lelaki serta 20 wanita warga Indonesia; dan seorang lelaki warga Pakistan," jelasnya.

Wan Mohammed Saupee berkata, pihaknya turut mengeluarkan satu Borang Imigresen 29 kepada individu yang perlu hadir memberi keterangan di pejabat.

"Kesemua tahanan telah dibawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63.

"Kita akan terus memperhebatkan operasi seperti ini dalam usaha membanteras kehadiran PATI di ibu kota," katanya.