Foto datuk cetus impian kembar tiga seiras

Iklan
Nuramin (kiri), Nuriman (tengah) dan Nurnaim (kanan) ketika masih kecil.

SHAH ALAM – Lapan kali gagal dalam pemilihan tentera, namun tiga beradik kembar seiras tidak pernah berputus asa sehingga akhirnya berjaya menyarung seragam Tentera Darat Malaysia (TDM) pada percubaan kesembilan.

Bagi Muhammad Nuriman Mohd Irwan, Muhammad Nuramin dan Muhammad Nurnaim, masing-masing berusia 21 tahun, kejayaan menamatkan latihan asas ketenteraan di Port Dickson pada 17 Oktober lalu menamatkan penantian panjang sejak mereka mula mencuba nasib selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2023.

Iklan
Iklan

Menurut Muhammad Nuramin, inspirasi awal mereka ialah datuk, Ismail Ujang, 80, bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berkhidmat selama 25 tahun dari 1964 hingga 1989 dengan pangkat terakhir Pegawai Waran I.

Nuriman (kiri), Nurnaim (tengah) dan Nuramin (kanan) ketika berusia belasan tahun.

Iklan

Datuk mereka sering berkongsi pengalaman bertugas, termasuk berdepan lanun di perairan Lahad Datu ketika ditempatkan di Labuan.

“Minat tercetus daripada cerita-cerita yang atuk kongsi dengan kami,” katanya.

Iklan

Tiga beradik berasal dari Seremban dan kini menetap di Putrajaya itu merupakan anak ketiga, keempat dan kelima daripada lima beradik.

Muhammad Nuramin memaklumkan tujuh daripada lapan percubaan yang gagal melibatkan TDM, manakala satu lagi TLDM.

Dengan ketinggian 158 sentimeter, mereka tidak memenuhi syarat minimum 162 sentimeter ketika itu.

Sementara terus berusaha, mereka menyambung pengajian di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Lumpur sehingga memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3.

Tiga beradik kembar ketika menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 3/2025.

Sementara itu, bapa mereka, Mohd Irwan Ismail, 53, berkata, minat ketiga-tiga anaknya terhadap dunia ketenteraan sudah berputik sejak sekolah rendah, namun masalah ketinggian menyebabkan mereka berkali-kali gagal dalam pemilihan.

Katanya, seorang pegawai pemilihan pernah mencadangkan supaya anak-anaknya menyertai Askar Wataniah terlebih dahulu.

Mereka kemudian menjalani kursus asas selama sebulan pada 2025 dan turut mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bagi memperkukuh disiplin serta ketahanan fizikal dan mental.

Ibu mereka, Yusnizah Mohd Yusof, 52, yang bertugas sebagai pembantu tadbir di sebuah kementerian, turut memainkan peranan penting apabila mendaftarkan anak-anaknya mengikuti PLKN.

Ketiga-tiga beradik ketika berjaya menamatkan latihan PLKN selama 45 hari di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah, di Sungai miang, Pekan, Pahang.

Berjoging

Menurut Mohd Irwan, anak-anaknya tetap berlatih termasuk berjoging untuk meningkatkan ketahanan fizikal.

Malah, mereka sudah bersedia menyambung pelajaran sekiranya permohonan kali kesembilan turut tidak berjaya.

Namun, peluang akhirnya terbuka apabila syarat ketinggian minimum pengambilan TDM tahun ini diselaraskan daripada 162 kepada 157 sentimeter.

“Buat kali kesembilan, alhamdulillah berjaya juga akhirnya dalam pemilihan siri yang ke-206,” kongsinya.

Mereka kemudian menjalani latihan asas selama enam bulan bermula 10 April hingga 17 Oktober di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson bersama 1,482 pelatih lain.

Nuramin (tengah) ketika menjadi ketua kompeni Bravo menerima anugerah kompeni terbaik semasa menyertai PLKN 3.0 Siri 3/2025.

Di sebalik latihan mencabar, wajah mereka yang hampir sama sering mencetuskan suasana lucu apabila rakan dan jurulatih sukar membezakan ketiga-tiganya.

Kegembiraan itu bagaimanapun hadir bersama cabaran baharu apabila buat pertama kali ketiga-tiganya terpaksa berjauhan untuk berkhidmat.

Muhammad Nuriman ditempatkan di Ipoh, Perak, Muhammad Nuramin di Kuching, Sarawak, manakala Muhammad Nurnaim di Johor Bahru, Johor.

“Berjauhan ini bukan penghalang kami bertiga untuk maju ke depan,” katanya.

Bagi keluarga ini, perjalanan daripada kegagalan demi kegagalan sehingga berjaya berkhidmat kepada negara menjadi bukti bahawa cita-cita yang sama boleh diperjuangkan bersama tanpa mengenal putus asa.