'Boleh ke Terengganu, terbang ke KL tonton wayang' - Mohd Amar

Iklan
Mohd Amar (foto kecil) menegaskan pembukaan pawagam atau panggung wayang di Kelantan bukan perkara yang menjadi keutamaan apabila rakyat boleh ke Terengganu atau Kuala Lumpur untuk menonton filem. - Foto hiasan

KOTA BHARU – Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah menegaskan bahawa pembukaan pawagam atau panggung wayang di Kelantan bukan satu keutamaan kerana rakyat negeri itu masih berpeluang menonton filem di negeri jiran seperti Terengganu atau di ibu negara, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, rakyat Kelantan celik hiburan, tahu menilai dan berkemampuan membuat pilihan sendiri.

Iklan
Iklan

“Rakyat Kelantan sendiri tidak melihat pawagam sebagai satu keperluan mendesak. Bagi yang berhajat, ada yang ke Terengganu seisi keluarga.

“Ada juga yang terus terbang ke Kuala Lumpur, ke pawagam bertaraf premium atau lounge mewah. Itu bukan perkara luar biasa. Sama seperti mereka yang melancong ke Thailand untuk membeli-belah, bercuti atau menikmati makanan,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Isnin malam.

Iklan

Menurut beliau, isu pawagam hanya kembali diperkatakan apabila filem Mat Kilau mencetuskan fenomena luar biasa dan segelintir pihak mengambil kesempatan meniup sentimen kononnya rakyat Kelantan dinafikan hak menonton filem di pawagam.

Katanya, kebetulan isu itu timbul menjelang pilihan raya dan dijadikan bahan politik.

Iklan

“Jika benar ada hasrat untuk melihat industri filem berkembang, tumpuannya sepatutnya diberikan kepada usaha menggandakan penghasilan filem yang berkualiti, patuh syariah dan sarat dengan nilai.

“Filem seperti Mat Kilau tidak seharusnya muncul sekali-sekala dalam tempoh dua tiga tahun. Kita perlu isi layar dengan karya berterusan, yang membina budaya dan mendidik masyarakat.

“Barulah pawagam, jika wujud sekalipun, menjadi tempat yang menyuburkan kefahaman – bukan sekadar hiburan kosong,” katanya.

Dalam masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu menegaskan bahawa panggung wayang bukan ukuran mutlak kepada kemajuan sesebuah negeri, apatah lagi dalam era digital dengan kewujudan pelantar penstriman atas talian (OTT) yang memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna.

Mengambil contoh dasar pengiklanan di Kelantan, Mohd Amar menjelaskan bahawa pendekatan patuh syariah dan penggunaan tulisan Jawi pada papan iklan telah berjaya membentuk identiti budaya yang sopan dan kreatif tanpa menjejaskan keberkesanan penyampaian mesej.

Tambah beliau, pendekatan Kelantan dalam isu hiburan bukan keputusan tergesa-gesa atau bersifat populis, sebaliknya melalui proses perbincangan panjang sejak era kepimpinan Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Apa jua bentuk hiburan yang dibawa mesti tidak melalaikan, tidak merosakkan jiwa dan kekal dalam lingkungan nilai yang kita junjung bersama,” katanya.