Sindiket licik seludup bahan radioaktif, isytihar produk tekstil

Iklan
Noraishah (dua dari kanan), Aznan (tengah) dan Monalija (dua dari kiri) semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Multilateral Nuclear Security Detection Exercise Malaysia–Indonesia–Thailand–Singapore 2025 (MITSATOM 2025) di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Sindiket dikesan memalsukan dokumen kastam dengan mengisytiharkan bahan radioaktif sebagai produk tekstil, tenusu dan alat mainan semata-mata untuk melepasi pemeriksaan pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Atom Malaysia (Atom Malaysia), Monalija Kostor berkata, cubaan menyeludup pelbagai bahan radioaktif itu dikesan dilakukan menerusi jalan darat dan laut melibatkan kawasan sempadan seluruh negara dengan purata sekitar 15 kes setahun.

Iklan
Iklan

"Kita banyak melakukan pengesanan aktiviti penyeludupan bahan radioaktif di sempadan atau pintu masuk negara menerusi pemasangan Radiation Portal Monitors (RPMs) yang terdapat di pintu masuk negara.

"Kebanyakannya diseludup dari negara luar masuk atau bahan itu keluar dari negara kita sendiri tanpa lesen. Aktiviti ini yang dijalankan secara haram tanpa kebenaran boleh mengundang mudarat," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Multilateral Nuclear Security Detection Exercise, Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapore 2025 (MITSATOM 2025) di sebuah hotel pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Pengarah Atom Malaysia, Noraishah Pungut serta Exco Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin.

Iklan

Mengulas lanjut, Monalija berkata, bahan radioaktif itu diseludup untuk kegunaan antaranya industri minyak dan gas, elektronik, penyelidikan serta perubatan.

Jelas beliau, sindiket cuba membawa masuk menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan menerusi pintu masuk di Pulau Pinang.

Katanya, antara cubaan yang paling kerap dilakukan adalah di Pelabuhan Klang, Selangor dengan mengikrarkan bahan lain namun sebenarnya bahan radioaktif.

"Bahan radioaktif itu yang sangat berbahaya apabila terdedah kepada umum diseludup bagi mengurangkan kos import bahan tersebut secara sah melibatkan lebih RM1 juta setiap satu bergantung jenis bahan radioaktif.

"Menerusi cara itu mereka akan mendapat untung berlipat kali ganda tanpa menyedari kesannya yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai dan boleh menjejaskan keselamatan negara," ujarnya.