Keputusan saman fitnah Rosmah isu ilmu hitam, kes Najib antara menarik minggu ini

Iklan
Keputusan taksiran ganti rugi dalam kes saman fitnah RM1 juta oleh Rosmah terhadap seorang pemilik akaun TikTok dan hujahan Titah Adendum Najib antara kes yang menarik di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur minggu ini.

KUALA LUMPUR – Keputusan taksiran ganti rugi dalam kes saman fitnah RM1 juta oleh Datin Seri Rosmah Mansor terhadap seorang pemilik akaun TikTok, yang mendakwa isteri bekas Perdana Menteri itu mengamalkan ilmu hitam, antara yang menarik di Mahkamah Tinggi di sini minggu ini.

Selain itu, hujahan Titah Adendum membabitkan suami Rosmah, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pendengaran semakan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony, turut dijadualkan di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Iklan
Iklan

Peter Anthony

Bukan itu sahaja, Najib, 72, juga hadir ke Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bagi hujahan saman SRC International Sdn Bhd.

Iklan

Dalam pada itu, Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan dalam kes komital ke atas bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil dan hujahan berkaitan permohonan semakan balu Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid.

Na'imah

Iklan

Pada Isnin, Najib yang diwakili peguam-peguam akan berhujah di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin berhubung saman SRC sebanyak AS$1.18 bilion.

Pada 7 Mei 2021, SRC di bawah pengurusan baharunya memfailkan saman terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan serta bekas-bekas pengarah syarikat itu.

Mereka ialah Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail.

Syarikat itu juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib adalah bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas serta amanah beliau dan menuntut supaya beliau membayar balik kerugian yang dialami berjumlah RM42 juta.

Bagaimanapun, syarikat itu menggugurkan keenam-enam nama daripada saman tersebut dan hanya mengekalkan Najib sebagai defendan.

SRC mendakwa Najib telah menyalah guna kuasanya dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan.

Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

SRC, yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan selain faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada Selasa pula, Hakim, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh dijangka membacakan keputusan taksiran ganti rugi, saman fitnah RM1 juta oleh Rosmah berhubung isu ilmu hitam.

Ia selepas mahkamah membenarkan permohonan Rosmah, 74, kerana Ku Muhammad Hilmie gagal memasukkan memorandum kehadiran bagi menjawab saman pada tarikh yang ditetapkan.

Pada 19 September 2023, Rosmah selaku plaintif menuntut ganti rugi itu daripada Ku Muhammad Hilmie berhubung dakwaan fitnah terbabit.

Beliau menamakan lelaki yang mempunyai 1,584 pengikut itu sebagai defendan kerana didakwa memuat naik satu rakaman video di akaun TikTok menggunakan nama 'CEO Heelmie Fighter' yang mengandungi kenyataan tidak benar pada 22 Mac tahun sama.

Sementara bagi kes Titah Adendum, panel tiga hakim menetapkan Rabu ini untuk menyambung hujahan di Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan Peguam Negara untuk mengetepikan keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan yang mengembalikan semakan kehakiman Najib ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Pada 6 Januari lalu, mahkamah membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari 2024.

Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Peguam Negara berjaya mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan itu pada 28 April lalu, dan mahkamah menetapkan hujahan dijalankan pada 1 dan 2 Julai kemudian disambung 9 Julai.

Pada hari sama, panel hakim Mahkamah Rayuan akan mendengar permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 terhadap bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony.

Ia berhubung kesalahan memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), 11 tahun lepas.

Berdasarkan notis usul, Peter, 54, memohon mahkamah mengkaji semula dan mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan pada 4 Mac lepas di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

Selain itu, Peter turut memohon pembatalan waran mempenjarakan yang dikeluarkan Penjara Kajang terhadap beliau serta apa-apa perintah berbangkit bagi memastikan keadilan kes tersebut.

Pada 4 Mac lepas, Mahkamah Rayuan memerintahkan Peter menjalani hukuman penjara tiga tahun selepas menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2022.

Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd didakwa memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014, yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

Pada Jumaat pula, Mahkamah Tinggi di sini akan menyambung hujahan berkaitan permohonan semakan Na’imah untuk merujuk persoalan undang-undang mengenai kesahihan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta yang dihadapinya.

Hakim, K Muniandy akan mendengar hujahan daripada peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar pada 13 Jun lalu bahawa Mahkamah Sesyen tersalah tanggapan daripada segi undang-undang ketika menolak permohonan Na’imah untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Tinggi.

Persoalan itu antara lain menyentuh isu perlembagaan antaranya hak individu untuk tidak dipaksa mengemukakan keterangan yang boleh digunakan untuk mensabitkannya dalam suatu prosiding.

Na’imah memohon Mahkamah Tinggi menggunakan budi bicaranya untuk memanggil dan memeriksa rekod prosiding, mengenai ketepatan, kesahihan atau kewajaran dapatan dan perintah yang direkodkan oleh Mahkamah Sesyen.

Sementara itu, Selasa ini, Mahkamah Tinggi pada Jumaat akan membuat keputusan berhubung permohonan Peguam Negara supaya Isham dikenakan tindakan sama ada dipenjara atau didenda kerana menghina mahkamah.

Pada 4 Mac tahun lepas, mahkamah telah membenarkan permohonan Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Isham dan dalam permohonan ex-parte pada 28 Disember 2023, Peguam Negara turut memohon mahkamah untuk memenjarakan atau mengenakan denda ke atas Isham.

Pada 30 Mei lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam berkata, kenyataan Isham yang juga bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, mengenai perbicaraan dan rayuan Najib mempunyai risiko nyata yang boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap pentadbiran keadilan.

Isham Jalil

Menurutnya, Isham atau nama sebenarnya Hizatul Isham Abdul Jalil telah memalukan badan kehakiman dengan mempersoalkan keputusan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi berhubung kes SRC dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun yang mewakili Isham berhujah bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah.