NEW YORK — Nama Zohran Kwame Mamdani kini meniti di bibir rakyat Amerika selepas mencipta kejutan besar dalam pemilihan awal Parti Demokrat untuk jawatan Datuk Bandar New York.
Beliau bukan sahaja mewakili generasi baharu dalam politik Amerika Syarikat (AS), malah simbol perubahan kepada wajah kepimpinan bandaraya paling berpengaruh di dunia.
Dilahirkan pada 18 Oktober 1991 di Kampala, Uganda, Zohran merupakan anak kepada pasangan intelektual ternama.
Bapanya, Prof Mahmood Mamdani ialah seorang ahli akademik terkenal dalam bidang politik dan antropologi, manakala ibunya pula ialah pengarah filem tersohor dari India, Mira Nair.
Beliau dibesarkan dalam suasana keluarga berpendidikan tinggi.
Zohran berpindah ke AS pada usia tujuh tahun selepas keluarganya menetap seketika di Afrika Selatan.
Mereka kemudian menetap di kawasan Bronx, New York, salah satu daerah yang kini menjadi kubu kuat penyokongnya.
Zohran mendapat pendidikan awal di Bronx High School of Science sebelum menyambung pengajian di Bowdoin College, Maine dalam jurusan Kajian Africana (Africana Studies).
Di sinilah minatnya terhadap keadilan sosial, perkauman, dan struktur ekonomi berkembang pesat.
Sebelum bergiat aktif dalam politik, Zohran pernah menjadi kaunselor perumahan di Queens, membantu golongan penyewa miskin yang berdepan risiko pengusiran.
Pengalaman ini meninggalkan kesan mendalam dan menjadi pencetus kepada perjuangannya menentang ketidaksamaan sistemik dalam bandaraya tersebut.
Tidak ramai tahu beliau juga pernah bergiat dalam bidang seni sebagai penyanyi rap dengan nama pentas “Mr. Cardamom”.
Beliau pernah terlibat dalam penciptaan lagu untuk filem Queen of Katwe arahan ibunya, membuktikan sisi kreatif yang jarang dimiliki ahli politik arus perdana.
Zohran mula serius dalam politik selepas menyertai Democratic Socialists of America (DSA) pada 2017, ketika gelombang sokongan terhadap Bernie Sanders melonjak. Beliau menjadi antara muka utama sayap progresif dalam Parti Demokrat di New York.
Pada 2020, beliau mengejutkan ramai apabila berjaya menewaskan penyandang kerusi Dewan Negeri New York bagi Daerah ke-36, Astoria, iaitu satu pencapaian besar bagi calon sosialis demokrat yang berkempen tanpa sokongan elit parti.
Dalam tempoh perkhidmatannya, beliau memperjuangkan pelbagai dasar progresif seperti pengangkutan percuma, hak penyewa, pembekuan sewa, serta cukai tinggi kepada korporat gergasi. Walaupun hanya tiga rang undang-undangnya diluluskan, impak retoriknya cukup besar.
Kini, sebagai calon rasmi Parti Demokrat dalam pemilihan Datuk Bandar New York 2025, Zohran membawa naratif yang lantang iaitu menolak politik status quo dan menyeru peralihan kuasa ke tangan rakyat biasa.
Slogan utamanya, “Bandar Ini Untuk Kita Semua”, menarik minat belia, golongan minoriti dan kelas pekerja.
Namun, kemunculannya juga tidak sunyi daripada kontroversi. Klip video lama yang menunjukkan beliau menyebut frasa “seizing the means of production” telah digunakan oleh media konservatif untuk melabelnya sebagai komunis.
Ramai pelarian dari negara sosialis juga meluahkan kebimbangan.
Dalam masa sama, beliau turut berdepan serangan peribadi. Lawannya membangkitkan latar belakangnya sebagai ‘anak orang kaya’ (nepo baby) dan mempersoalkan kredibilitinya apabila mengisytiharkan hanya memiliki simpanan AS$2,000 (RM9,400) walaupun menerima gaji tahunan lebih AS$140,000 (RM658,000).
Walaupun begitu, popularitinya terus meningkat terutamanya dalam kalangan penduduk muda beretnik campuran di New York.
Sokongan terbuka dari tokoh seperti Alexandria Ocasio-Cortez dan Bernie Sanders membantu mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan pengundi progresif.
Zohran juga dilihat cuba mencari keseimbangan antara idealisme dengan realiti. Dalam beberapa kempen terbarunya, beliau menegaskan bahawa perubahan yang dibawa adalah dalam rangka sistem demokrasi dan bukannya revolusi seperti yang dituduh pihak lawan.
Bagi ramai penyokong, beliau ialah cerminan kepada sebuah bandar yang rencam, moden dan bercita-cita tinggi.
Seorang Muslim berketurunan India-Uganda, Zohran membawa suara generasi baharu yang ingin melihat bandaraya itu lebih adil, lestari dan inklusif.
Jika beliau berjaya menawan kerusi Datuk Bandar New York pada November nanti, Zohran bukan sahaja bakal menjadi Datuk Bandar Muslim pertama, malah individu termuda yang pernah memegang jawatan tersebut dalam sejarah bandar itu.
Sama ada dianggap hero progresif atau simbol perpecahan dalam Parti Demokrat, Zohran kini menjadi watak utama dalam naratif politik Amerika.
Dari Kampala ke Queens, beliau membuktikan bahawa jalan ke tampuk kuasa tidak semestinya bermula dari gedung kekuasaan, tetapi boleh bermula dari jalanan. -Agensi