SHAH ALAM - Beberapa keperluan penting perlu dipenuhi bagi menjayakan inisiatif ‘Satu Keluarga, Satu Doktor’ oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk memastikan lokasi klinik mudah diakses oleh setiap komuniti, termasuk di luar bandar.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, saranan lain turut melibatkan keperluan bilangan doktor yang mencukupi dan penyelarasan mutu perkhidmatan kesihatan di semua fasiliti bagi memastikan tidak berlaku jurang kualiti antara kawasan.
“Mekanisme bayaran atau pembiayaan perlu dirangka, mungkin boleh digabungkan dengan sistem insurans kesihatan kebangsaan yang lebih menyeluruh,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Ujar Dr Zainal Ariffin, pendekatan tersebut telah lama diamalkan di negara maju dan terbukti memberi kesan positif kepada kualiti penjagaan kesihatan rakyat.
Menurutnya, konsep berkenaan juga setara dengan perkhidmatan terbaik yang ditawarkan di banyak negara yang menumpukan kepada kesihatan komuniti secara menyeluruh.
“Inisiatif di bawah KKM ini adalah sangat baik dan patut disegerakan. Melalui dasar berkenaan, perkhidmatan penjagaan kesihatan menjadi lebih personal dan tersusun.
“Setiap keluarga mendapat khidmat nasihat dan pemantauan kesihatan secara terus daripada doktor yang sama serta meningkatkan kualiti rawatan,” ujarnya.
Tambahnya, inisiatif tersebut membolehkan doktor memberi nasihat dan rawatan secara berterusan serta lebih tepat kerana mereka sudah mengenal pasti sejarah kesihatan pesakit.
“Dasar tersebut turut mampu mengurangkan beban hospital. Dengan penjagaan kesihatan primer yang lebih baik, pesakit kurang bergantung pada hospital untuk masalah kesihatan rutin,” ujarnya.