Kru AirAsia tangkas bantu anak sesak nafas, ibu luah penghargaan

Iklan
Seorang ibu meluahkan penghargaan kepada kru penerbangan AirAsia yang bertindak pantas membantu anak perempuannya yang mengalami kesukaran bernafas ketika dalam penerbangan dari Guangzhou ke Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

SHAH ALAM - Seorang ibu meluahkan penghargaan kepada kru penerbanganAirAsia yang bertindak pantas membantu anak perempuannya yang mengalami kesukaran bernafas ketika dalam penerbangan dari Guangzhou ke Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Menerusi catatan di Facebook, Jacyntha Florentius berkongsi pengalaman cemas itu melibatkan anaknya, Natashya Sofea yang berusia setahun tujuh bulan semasa berada dalam penerbangan AK115.

Iklan
Iklan

Katanya, anaknya tiba-tiba menjadi pucat, bibir bertukar warna dan kelihatan lemah serta tidak responsif kira-kira satu jam setengah selepas pesawat berlepas.

“Saya terus dukung Tashya, tepuk belakang, gosok tangan dan kaki serta cuba buat dia menangis. Dalam masa sama, saya minta bantuan oksigen daripada kru kabin.

Iklan

“Mereka bertindak sangat cepat dan cekap. Selepas diberi oksigen, keadaannya mula bertambah baik,” katanya dalam hantaran tersebut.

Jacyntha berkata, kru berkenaan kemudian membuat pengumuman untuk bertanya sekiranya terdapat doktor dalam penerbangan dan nasib menyebelahi mereka apabila seorang doktor tampil memberikan bantuan segera.

Iklan

Katanya lagi, juruterbang turut bertindak menurunkan altitud penerbangan dan memutuskan untuk melencongkan pesawat ke Ho Chi Minh bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Sepanjang penurunan selama 30 minit itu, kru kabin tak henti-henti datang periksa Tashya, urut tangan dan kakinya, serta periksa nadinya. Mereka sangat prihatin.

“Setiba di Ho Chi Minh, pasukan perubatan terus menaiki pesawat dan meminta kami turun untuk pemeriksaan di hospital,” katanya.

Jacyntha memaklumkan beliau, suami dan anaknya terus dibawa menaiki ambulans ke hospital dengan diiringi kakitangan AirAsia, Alan Vuu yang bersama mereka sepanjang proses rawatan.

Katanya, Tashya menerima rawatan segera tanpa perlu menunggu dan semua pemeriksaan seperti ECG, ekokardiogram dan X-ray diselesaikan dalam masa satu jam.

“Paling saya terharu, mereka turut sediakan penerbangan percuma untuk kami pulang ke Kuala Lumpur. Kakitangan darat di Ho Chi Minh juga sangat membantu sehingga kami masuk ke ruang menunggu,” katanya.

Dalam hantaran itu, Jacyntha turut menyenaraikan nama kru yang terlibat dan berharap mereka diberikan ganjaran sewajarnya atas tindakan pantas dan berperikemanusiaan yang ditunjukkan.

Antara kru yang terlibat ialah Kapten Sangeran Surendran, SFO Muhammad Syafiq Nor’en, SCC Mohd Ridzwan Ong, CC Stephenie Unyang Dungo, CC Nurul Nasuha Mohd Maznan dan CC Amirul Ariffin Junaidi, selain kakitangan darat Ho Chi Minh, Alan Vuu.