PUTRAJAYA – Sebanyak 707 kes keracunan makanan direkodkan pada tahun lalu, manakala 204 kes pula dilaporkan setakat Mei lepas, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Dr Dzulkefly memaklumkan, jumlah itu mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 23 peratus berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2024 juga mendapati 40.5 peratus warga emas dan 28.7 peratus remaja tidak membaca label makanan, sekali gus menunjukkan masih wujud jurang literasi pemakanan yang perlu ditangani bersama.
Justeru, kata beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited untuk mentransformasikan sistem kesihatan negara daripada rawatan kepada pencegahan.
“Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) berperanan sebagai ‘gatekeeper’ kepada keselamatan makanan negara. Pelbagai inisiatif berimpak tinggi telah dilaksanakan termasuk pensijilan, pengiktirafan, pelesenan dan kempen kesedaran kepada sektor makanan serta pengguna.
“Premis Bersih Bebas Asap (BeBAS) merupakan antara inisiatif yang saya banggakan kerana ia melambangkan komitmen kita dalam menyediakan persekitaran makanan yang selamat, bersih dan bebas asap rokok.
“Setakat ini, hampir 14,000 premis makanan telah menerima Pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) meningkat sebanyak 24.9 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ekspo Makanan Selamat (eMAS) sempena Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025, di sini pada Sabtu.
Program selama tiga hari itu diadakan dengan kerjasama KKM dan Persatuan Keselamatan Makanan Malaysia (MAFSA), dan merupakan inisiatif penting dalam memperkasa industri makanan selamat negara.
Difahamkan, penganjuran eMAS 2025 dilaksanakan sebagai platform advokasi secara terus kepada pengusaha makanan, pemain industri dan masyarakat.
Menerusi majlis tersebut, Dr Dzulkefly turut melancarkan Modul Pengajaran Latihan Pengendali Makanan Khas bagi Pengendali Makanan Kategori Orang Kurang Upaya (OKU).
Tambahnya, modul itu diyakini mampu membawa impak besar serta membuka lembaran baharu buat golongan OKU di negara ini.
“Kerjasama pelbagai pihak adalah kunci kejayaan. Maka, saya ingin merakamkan penghargaan kepada rakan strategik KKM iaitu Zuspresso (M) Sdn. Bhd., Secret Recipe Manufacturing Sdn. Bhd., Petronas Dagangan Berhad (Mesra Retail & Cafe Sdn. Bhd.) serta PLUS Malaysia Berhad atas komitmen mereka ke arah pengiktirafan BeSS di rangkaian premis masing-masing.
“Penghargaan turut diberikan kepada Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) atas komitmen melaksanakan program Food Safety for Young Generation (FooYoo) sekali gus menyemai kesedaran dalam kalangan generasi muda,” ujarnya.