MELAKA – Seorang penganggur yang mempunyai dua anak direman selama tujuh hari bermula Sabtu kerana disyaki merogol anak bongsunya yang juga orang kurang upaya (OKU) pembelajaran.
Perintah reman yang dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, Nurul Asyikin Rosli turut melibatkan anak sulung lelaki berkenaan yang direman selama lima hari kerana disyaki bersubahat dalam kejadian terbabit.
Dua beranak itu ditahan pada Jumaat selepas mangsa, berusia 23 tahun tampil membuat laporan polis dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan bahawa suspek dan anak sulungnya ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes rogol seorang gadis OKU yang merupakan anak kepada lelaki berkenaan.
Menurut sumber, kejadian malang yang menimpa anak bongsu daripada dua beradik itu terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian berkenaan yang berlaku pada 6 Jun lalu kepada ibu saudaranya.
Sumber turut memaklumkan bahawa sebelum itu, mangsa pernah menceritakan perbuatan terkutuk bapanya kepada kakaknya, namun wanita itu tidak mempercayainya.
Sebaliknya, kakak mangsa bertindak memukulnya kerana menganggap mangsa memfitnah bapa mereka.
Disebabkan takut dipukul, mangsa enggan pulang ke rumah dan menceritakan kejadian sebenar kepada ibu saudaranya yang kemudian membawa gadis OKU itu untuk membuat laporan polis.