Belut hidup tembusi usus, lelaki nyaris maut

Iklan
Seorang lelaki nyaris maut selepas seekor belut hidup memasuki tubuhnya melalui dubur. Foto media tempatan China

HUNAN - Seorang lelaki di wilayah Hunan nyaris maut selepas seekor belut hidup sepanjang 30 sentimeter memasuki tubuhnya melalui dubur dan menembusi usus dalam kejadian yang berlaku pada 1 Julai lalu.

Mangsa berusia 30 tahun itu hadir ke Jabatan Kecemasan Hospital Pengajar Pertama Kolej Perubatan Hunan dalam keadaan pucat, berpeluh-peluh dan mengerang kesakitan sambil memegang perutnya.

Iklan
Iklan

Memetik laporan Xiaoxiang Morning Post, lelaki tersebut dalam keadaan panik merayu kepada doktor: “Doktor, tolong saya! Seekor belut hidup... masuk melalui dubur saya!”

Hasil imbasan tomografi berkomputer (CT) mengesahkan bahawa belut tersebut telah menembusi usus besar (kolon sigmoid) dan menyebabkan perforasi usus, iaitu satu keadaan kritikal yang boleh membawa maut jika tidak dirawat segera.

Iklan

Lebih membimbangkan, pesakit turut menunjukkan simptom perut keras seperti papan, petanda jelas kepada peritonitis menyeluruh – jangkitan serius dalam rongga perut yang berisiko tinggi menyebabkan kejutan jangkitan.

Pasukan perubatan segera menjalankan pembedahan laparoskopi dan menemui belut tersebut telah keluar daripada koyakan pada usus dan sedang ‘berenang’ dalam rongga perut.

Iklan

Keadaan abdomen pesakit juga dilaporkan telah tercemar teruk dengan kandungan usus, yang boleh menyebabkan jangkitan merebak sekiranya tidak dikendalikan dengan cermat.

Bagaimanapun, hasil tindakan pantas pasukan pembedahan serta rawatan intensif termasuk pemberian antibiotik dan sokongan nutrisi, pesakit berjaya diselamatkan dan kini pulih sepenuhnya.

Susulan kejadian itu, pihak hospital mengeluarkan amaran keras terhadap sebarang cubaan memasukkan objek asing ke dalam dubur.

“Ini bukan satu perbuatan pelik yang lucu. Ini membahayakan nyawa. Dinding usus sangat rapuh. Jika terkoyak, boleh menyebabkan pendarahan dalaman, jangkitan serius dan kematian dalam masa singkat,” kata seorang doktor yang merawat mangsa.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak cuba merawat sendiri dan segera ke hospital sekiranya berlaku sebarang kejadian seumpama itu.

Insiden berkenaan menjadi tular di media sosial China selepas video laporan dimuat naik oleh Xiaoxiang Morning Post menerusi platform Weibo, namun tidak dinyatakan secara spesifik bagaimana belut itu boleh memasuki dubur lelaki berkenaan.